Kumpulan legenda Michael Learns To Rock bakal beraksi di Malam Cabaran Presiden 2025
Anggota kumpulan Michael Learns To Rock (dari kiri) Mikkel Lentz, Kare Wanscher dan Jascha Richter pada 8 September 2023. (Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)
Tahun ini, acara pengumpulan dana ini membawa tema, 'We All Have Something To Give', dan akan berlangsung pada 2 November.
Michael Learns To Rock yang terdiri daripada Jascha Richter, Mikkel Lentz, dan Kare Wanscher akan mempersembahkan lagu-lagu klasik seperti 'Paint My Love' dan '25 Minutes'.
Penampilan kumpulan ini di acara tersebut adalah tiga bulan sebelum konsertnya yang akan datang di Singapura pada Februari tahun hadapan.
Artis-artis popular lain yang akan membuat persembahan termasuk Zoe Tay, Benjamin Kheng, Joanna Dong, Zuhairi Idris, Eswari Gunasagar, dan ramai lagi.
Peminat boleh menantikan pelbagai persembahan menarik seperti rutin tarian 'waacking' yang menampilkan Rayyan Syafiq Abdullah, Hazelle Teo dan Jaynesh Isuran; persembahan muzik tradisional Cina dengan Mohamed Faizal dan Sonia Chew memainkan guzheng serta Jernelle Oh bermain pipa; serta medley lagu-lagu berinspirasikan Latin dan lagu-lagu popular seperti 'Lean on Me', 'This Is Me', 'Defying Gravity' dan 'I Want to Know What Love Is'.
Setahun selepas Presiden Tharman Shanmugaratnam 'menentang' penjaga gol Hassan Sunny dalam siri tendangan penalti, beliau akan bertemu dengan bekas atlet tenis meja kebangsaan Ethan Poh dan Zoe Tay untuk pertandingan piano pong, iaitu bermain ping pong di atas sebuah granpiano.
Presiden Tharman berkata, “Malam Cabaran Presiden menunjukkan apa yang boleh dicapai dengan penuh murah hati. Setiap sumbangan yang kita berikan membantu membina masyarakat yang saling menghormati - yang menaikkan semangat kita semua.”
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mediacorp, Tham Loke Kheng berkata, “Kami berbesar hati untuk sekali lagi menganjurkan Malam Cabaran Presiden.
"Lebih daripada sekadar satu pertunjukan, ini adalah sambutan kekuatan dan kerencaman masyarakat kita.
"Melalui tujuan yang bermakna ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat Singapura untuk menghulurkan sumbangan dengan murah hati dan membuat perubahan yang kekal bersama-sama.”
Malam Cabaran Presiden 2025 akan disiarkan secara langsung di mewatch, Saluran 5, Mediacorp Entertainment di YouTube, dan TikTok Mediacorp pada 2 November, dari pukul 7.30 malam hingga 9.30 malam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.