Kumpulan Elite kembali ke pentas konsert selepas 30 tahun
Kumpulan Elite bakal mengadakan konsert solo pada September 2025. (Gambar: iconentertainmentmy/Instagram)
This audio is generated by an AI tool.
Konsert yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) anjuran Icon Entertainment itu bakal menyatukan semula lima ahli asal, iaitu Linda Rafar, Sasha Saidin, Watie Sadali, Abby Abadi dan Azza dalam sebuah persembahan penuh nostalgia bersempena dengan ulang tahun ke-30 penubuhan kumpulan itu.
Pengasas Icon Entertainment Iman Tang berkata penganjuran konsert itu bagi memenuhi permintaan tinggi peminat yang mahukan kemunculan semula Elite selepas penampilan ringkas mereka di Konsert GenKRU sebelum ini.
"Selepas penganjuran Konsert GenKRU, kita dapat banyak permintaan untuk melihat Elite di atas pentas kerana rata-rata tidak puas dengan penampilan kumpulan itu (dalam konsert GenKRU). Selepas berbincang, kami merealisasikannya dan percaya konsert ini akan mengembalikan nostalgia peminat-peminat yang hadir," katanya pada sidang media konsert tersebut, di Kuala Lumpur pada Isnin (23 Jun).
Penganjuran konsert itu katanya bukan sahaja untuk meraikan tiga dekad Elite dalam industri muzik tempatan, tetapi juga menjadi medan bagi menghidupkan semula suasana muzik era 90-an dengan pendekatan moden dan profesional.
Buat pertama kalinya, peminat berpeluang menyaksikan semula lagu-lagu popular seperti Trauma, Tamparan Wanita, Manisnya Senyumanmu, Sesuatu Di Dalam Dirimu dan G.I.G dipersembahkan secara langsung oleh kelima-lima anggota asal kumpulan yang penah mendapat julukan Spice Girls Malaysia itu.
Ahli Elite, Abby Abadi mengakui pada awalnya berasa bimbang untuk kembali ke pentas selepas sekian lama tidak bergiat secara aktif dalam nyanyian.
“Sejujurnya kami gusar mengenangkan banyak perkara, kerana seperti semua tahu Elite sudah lama tidak aktif, apatah lagi melakukan persembahan pentas.
“Bagaimanapun, setelah meneliti perancangan yang dibawa oleh Iman dan melihat sokongan yang masih kuat daripada peminat, Elite akhirnya bersetuju untuk menjayakan konsert tersebut,” katanya.
Bagi Linda pula, peluang untuk kembali membuat persembahan di atas pentas besar merupakan sesuatu yang cukup mengujakan selepas sekian lama tidak berbuat demikian secara berkumpulan.
“Apa yang paling kami rindu adalah berada di atas pentas dan menghiburkan peminat dengan lagu-lagu kami sendiri. Ini adalah satu tanggungjawab besar dan kami akan cuba beri yang terbaik,” ujarnya.
Peminat boleh mendapatkan tiket yang akan mula dijual pada 26 Jun ini menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my/elite, dengan harga RM268 (S$80.90) hingga RM1,088 (S$328.50).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.