Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kultus, Hilang Kasih Di Sarajevo masing-masing terima 7 pencalonan di Pesta Perdana 2021

Berlangsung 5 Mac ini, Pesta Perdana edisi ke-16 akan menyaksikan 30 kategori dipertandingkan - termasuk kategori baru 'Rancangan Audio Terbaik'.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pesta Perdana 2021 yang akan berlangsung 5 Mac ini menyaksikan dua siri drama - Kultus and Hilang Kasih Di Sarajevo - masing-masing menerima pencalonan terbanyak, iaitu tujuh pencalonan.

Ia juga menyaksikan 19 artis dicalonkan buat pertama kali dalam Pesta Perdana, termasuk pelakon veteran Lim Kay Tong, Wan Hanafi Su dan Susan Lankester.

Perincian pencalonan Pesta Perdana edisi ke-16 diumumkan saluran Suria dalam satu sidang media pada Rabu (10 Feb).

Kesemuanya Suria menerima 324 pencalonan kali ini bagi 30 kategori, iaitu lebih tinggi berbanding 300 pencalonan pada 2019.

FAISAL ISHAK & ISTERI UMIE ISMAIL DAPAT 6 PENCALONAN

Antara yang menonjol ialah 25 calon mendapat lebih daripada satu pencalonan, iaitu antara dua hingga empat pencalonan setiap satu.

Antara mereka ialah pasangan suami isteri Faisal Ishak dan Umie Ismail.

Faisal mendahului pencalonan bagi kategori Arahan Terbaik (Drama) apabila namanya mengisi tiga daripada lima pencalonan untuk drama Hilang Kasih Di Sarajevo, Lap Lip, Poskad Dari Alhambra.

Umie juga mendapat tiga pencalonan termasuk bagi Penulisan Skrip Terbaik.

"Kami melihat ini sebagai satu persaingan yang sungguh sihat kerana kita juga suka bersaing sengit dari segi kreativiti dan apa yang boleh kita lakukan tetapi akhirnya untuk masyarakat sendiri," ujar Faisal.

Umie pula berkata: "Saya berkongsi apa yang dirasakan suami saya, terharu berbangga dan bersyukur atas pencalonan ini. Segala kerja keras kami diiktiraf."

Ketua Audiens Melayu & Eaglevision Mediacorp Sabariah Ramilan berkata disebabkan COVID-19, Pesta Perdana bulan depan akan berlangsung dengan lebih sederhana.

"Skala rancangan terpaksa menjadi lebih konservatif tetapi masih juga meriah dan gah kerana kami harus mengambil kira langkah-langkah keselamatan," kata beliau.

"Dan juga pada kali ini, kami tidak dapat mengundang lebih ramai tetamu dan penonton dalam teater tetapi rasanya dari segi penerimaan ataupun penyertaan daripada pihak penerbitan dan juga para artis, kami juga rasa amat teruja ramai yang menyertai pencalonan kali ini."

KATEGORI BARU BAGI RANCANGAN AUDIO

Di samping itu ada satu pembaharuan ketara tahun ini.

Buat pertama kali, kategori Rancangan Audio Terbaik terbitan stesen radio Warna 942 dan Ria 897 diperkenalkan.

Selain itu, para penonton semestinya akan menyaksikan dengan teliti prestasi lima buah siri drama.

Sedang Hilang Kasih Di Sarajevo dan Kultus mendahului dengan tujuh pencalonan, siri Lap Lip, Mamaku Bibikku dan Raksasa tidak jauh di belakang dengan enam pencalonan setiap satu.

Jawapannya akan diketahui pada 5 Mac nanti, mulai 7.30 malam di saluran Suria, meWATCH dan YouTube Mediacorp.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan