Skip to main content

Hiburan

Kugiran Search jayakan 'Rock On 40'; gegar pentas Istana Budaya pada 4 Dis

Anggaran Waktu Membaca:
Kugiran Search jayakan 'Rock On 40'; gegar pentas Istana Budaya pada 4 Dis

Kugiran rok legenda Malaysia, Search di majlis tandatangan yang berlangsung di pejabat Menara Network baru-baru ini. (Gambar: Network Sdn Bhd)

KUALA LUMPUR: Kugiran rok legenda Malaysia, Search, bakal muncul dalam Konsert Search Rock On 40 di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), pada 4 Disember nanti.

Dalam majlis tandatangan yang berlangsung di pejabat Menara Network baru-baru ini, vokalis Search, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy, meluahkan rasa bangga kerana berpeluang kembali ke pentas berprestij Istana Budaya sekali gus mengimbau nostalgia.

"Menjadi penghormatan buat kami beraksi di Istana Budaya serta bertemu dengan para peminat yang menyokong sejak 40 tahun lalu."

“Selepas lapan tahun kami kembali dan mempersembahkan rangkaian lagu yang dimainkan ketika zaman membuat persembahan di kelab gig untuk mengimbau kenangan."

“Segmen ini amat bermakna kerana ketika itu, kami berjaya merubah landskap industri muzik yang dikuasai irama blues dan reggae," katanya, dipetik oleh Astro Awani.

Sementara itu, jurucakap pihak penganjur Network Sdn Bhd, Ab Razif Asmuni, berkata konsert Rock on 40 bertepatan dalam meraikan perkembangan kejayaan muzik rok sejak empat dekad lalu.

"Persembahan mega ini menandakan permulaan siri konsert rok jelajah ke seluruh negera termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura.

“Atas sambutan hebat daripada peminat, kami memilih untuk melanjutkan konsert ini bersama kumpulan legenda Search,” katanya, menurut Astro Awani.

Encik Razif juga memberi bayangan bahawa persembahan selama tiga malam di Istana Budaya, Kuala Lumpur, itu akan membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan muzik rok Malaysia dan mereka berpeluang mendengar lagu hits yang jarang dipersembahkan di konsert sebelum ini.

Menurut agensi berita Astro Awani, persembahan Search adalah acara kemuncak konsert Rock On 40 dan menjadi pelengkap kepada siri Rock On 40. Ini kerana akan ada konsert rok yang menampilkan penyanyi hebat genre muzik itu seperti Man Kidal, Awie, Muss, Riz Halim dan Ella pada 2 dan 3 Disember nanti.

Harga-harga tiket bermula dari RM168 (S$51) hingga RM488 (S$149) manakala ruang VVIP berharga RM2,500 ($765) untuk sesi ramah mesra.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita