Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kugiran Search dituntut bayar ganti rugi khas RM500,000

Anggaran Waktu Membaca:
Kugiran Search dituntut bayar ganti rugi khas RM500,000

Gambar: Agensi berita/ MalaysiaGazette

Diterbitkan : 23 Jun 2022 09:47AM Dikemas Kini : 23 Jun 2022 09:47AM

KUALA LUMPUR: Syarikat Afjects Sdn. Bhd (Afjects) meminta kugiran rok terkenal, Search, untuk menyelesaikan pembayaran ganti rugi khas berjumlah hampir RM500,000 (S$157,500) dalam tempoh terdekat.

Menurut Afjets dalam satu kenyataan, pihaknya mengambil maklum laporan media mengenai penganjuran dua konsert berasingan iaitu 'Search Endemik' dan 'Rockin’ on the Rooftop' baru-baru ini, lapor MalaysiaGazette.

Syarikat itu juga mengambil perhatian tentang pengumuman pihak pengurusan Search, yang dianggotai oleh Din dan Kid, mengenai siri konsert jelajah Malaysia, Singapura serta Indonesia yang dijadual berlangsung antara Ogos 2022 hingga Mac 2023.

“Kami terkejut dan memandang serius pengumuman itu kerana sehingga ini, selepas hampir lima tahun, syarikat masih lagi menunggu maklum balas daripada kumpulan Search mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Justeru, Afjets akan mengambil langkah wajar dalam masa terdekat untuk melaksanakan keputusan mahkamah bagi mendapatkan pampasan berjumlah hampir setengah juta ringgit dan ganti rugi am yang belum ditaksir.

“Afjets juga sudah memberikan tempoh yang agak lama untuk kumpulan Search mengatur semula kedudukan kewangan mereka. Kami beranggapan penganjuran dua konsert berasingan baru-baru ini dan pengumuman siri konsert yang berikutnya membayangkan kumpulan Search kini sudah kembali ke landasannya dan boleh melunaskan segala komitmen kewangannya yang tertunggak,” tegas syarikat tersebut seperti dinukil oleh MalaysiaGazette.

Tuntutan itu dibuat berikutan kes tindakan kugiran tersebut yang melanggar perjanjian berhubung pembatalan konsertnya pada tahun 2016.

Menyusuli pembatalan konsert tersebut, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan tiga anggota kumpulan Search iaitu Nasir Daud, Noordin Mohd Taib (Din) dan Hamzah Mohd Taib (Kid) untuk membayar hampir RM500,000  (S$157,500) sebagai ganti rugi khas kepada Afjets kerana melanggar perjanjian berhubung pembatalan konsertnya, sekitar Ogos 2017.

Dalam pada itu, Afjets juga berhak menerima ganti rugi am yang belum ditaksirkan yang dijangka berjumlah tidak kurang daripada RM1 juta (S$315,000), menurut MalaysiaGazette.

Bagaimanapun atas nasihat peguam, syarikat tersebut tidak mengemukakan tindakan terhadap penyanyi asal Search, Amy, pada masa itu kerana beliau sudah jatuh muflis.

Selain itu, Afjets juga difahamkan bahawa pada masa ini, bekas pemain gitar bass Search, Nasir, juga sudah muflis.
 

Sumber : Agensi berita/KF/kf

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa