Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kugiran rok legenda Search gegarkan pentas Istana Budaya

Anggaran Waktu Membaca:
Kugiran rok legenda Search gegarkan pentas Istana Budaya

(Gambar: @akuamysearch/Instagram)

KUALA LUMPUR: Sentuhan kugiran rok legenda Malaysia, Search, ternyata masih berbisa menerusi konsert yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, pada Ahad malam (4 Dis). 

Meskipun usia Search sudah menjangkau 40 tahun, lontaran suara vokalisnya, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search, masih mampu memukau peminat tegarnya.

Malah, peminat turut disajikan dengan beberapa buah lagu yang cukup menggamit memori khususnya bagi mereka yang mengikuti rapat perjalanan kumpulan rok itu.

Ini termasuk beberapa segmen khas yang membawa penonton di Istana Budaya menelusuri perjalanan awal Search sebelum dilamar syarikat rakamannya, lapor Astro AWANI. 

Sudah pasti nyanyian lagu Isabella, Rozana, Fantasia Bulan Madu, Laila Namamu Teratas, Pelesit Kota, Gadisku, serta Isi Dan Kulit antara yang bergema di ruangan Pangung Sari apabila ia turut disulami dengan nyanyian penonton.

Search tampil dengan konsert bertemakan 'Rock On 40', satu penghormatan buat pemuzik genre itu yang berjuang puluhan tahun untuk mewarnai industri hiburan.

Dalam pada itu, konsert yang berprestij itu tentunya tidak akan lengkap tanpa barisan pemuzik lamanya 'otai' yang terdiri daripada Nasir Daud, Hillary Ang dan Man Kidal, yang beraksi sejak penganjuran Konsert Endemik.

Istana Budaya mula dibanjiri peminat setia Search yang beratur seawal pukul 8.00 malam, ghairah menantikan  konsert untuk bermula pada pukul 8.45 malam, menurut Astro Awani. 

Aura Search yang kekal unggul sehingga kini membuatkan penonton tidak berfikir panjang untuk berkorban wang ringgit bagi menghadiri konsert gilang-gemilang itu.

Search yang kekal bertenaga sejak pembukaan tirai konsert bagaimanapun mengakhirinya dengan lagu yang cukup bernostalgia, berjudul 'Pawana'.

Penonton yang masih tidak berasa puas dengan laungan "We want more!' bagaimanapun berjaya memujuk hati Amy bagi menyumbangkan sebuah lagi lagu berjudul 'Tiada Lagi', lapor Astro Awani. 

Turut membuat penampilan istimewa ialah anak Amy Search, yang juga merupakan pelakon, Nabila Huda, yang muncul di penutup konsert.

Konsert yang meraikan 40 tahun Search dalam industri hiburan itu merupakan yang terakhir bagi tahun 2022.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan