Skip to main content

Hiburan

Kugiran pop rok Indonesia Samsons akan dendang lagu baharu dalam konsert di Malaysia

Samsons, kumpulan pop rok Indonesia, memilih Malaysia sebagai lokasi perdana mempersembahkan lagu baharu daripada album keenam mereka menerusi konsert Samsons Live In Malaysia - Kenangan Terindah di IDEA Live Arena, Petaling Jaya pada 9 November ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Kugiran pop rok Indonesia Samsons akan dendang lagu baharu dalam konsert di Malaysia

Kumpulan Samsons bakal mengadakan konsert di Malaysia pada 9 November 2025. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 11 Sep 2025 06:50PM Dikemas Kini : 11 Sep 2025 10:41PM
KUALA LUMPUR: Samsons, kumpulan pop rok Indonesia, memilih Malaysia sebagai lokasi perdana mempersembahkan lagu baharu daripada album keenam mereka menerusi konsert Samsons Live In Malaysia - Kenangan Terindah di IDEA Live Arena, Petaling Jaya pada 9 November ini.

Konsert itu dijanjikan tampil berbeza dengan konsep imersif lima elemen alam - angin, bumi, api, air dan logam yang diterjemahkan melalui muzik, cahaya dan visual pentas, serta satu elemen istimewa, iaitu kasih sayang dan perpaduan.

Menurut vokalisnya Adrian Martadinata, 44, konsert kali ini merupakan penampilan kedua kumpulan itu di Malaysia selepas 2023, dan lebih istimewa apabila peminat tempatan bakal menjadi saksi pertama lagu baharu mereka sebelum dipersembahkan di Indonesia.

“Album keenam ini belum dinamakan dan memuatkan 10 buah lagu termasuk empat single yang telah dilancarkan, iaitu Ada Rasa Yang Salah, Rayu, Kecanduan dan Mentari, sementara enam lagi di peringkat rakaman akhir,” kata beliau pada Rabu (10 Sep) semasa sidang media.

Samsons yang turut dianggotai Erik Partogi Siagian, 43 (gitar); Aldri Dataviadi, 41 (bes) dan Irfan Aulia Irsal, 42 (dram), menegaskan Malaysia kekal istimewa dalam perjalanan muzik mereka selepas mendapat sambutan luar biasa pada konsert di Zepp Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

“Kami rasa sangat diberkati kerana muzik kami diterima dengan baik di sini, dan itu sebabnya kami tidak sabar kembali November ini,” katanya.

Dijangka berlangsung selama dua jam setengah, Samsons bakal mendendangkan lebih 20 lagu pada konsert itu.

“Kami mahu penonton bukan sekadar mendengar lagu, tetapi turut bernyanyi bersama-sama. Sebab itu kami akan kongsikan senarai lagu lebih awal agar peminat boleh bersedia,” kata Adrian, menambah mereka kini giat melakukan persiapan teknikal, mental dan fizikal.

Ditubuhkan pada 2003, Samsons merupakan antara kumpulan muzik berpengaruh dari Indonesia yang mempunyai peminat tersendiri di Malaysia. Antara lagu malar segar mereka ialah Kenangan Terindah, Naluri Lelaki, Akhir Rasa Ini dan Kisah Tak Sempurna.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita