Skip to main content

Hiburan

‘Korban 2’ selongkar identiti, budaya dan warisan kulinari dengan ceria sarat emosi

Sebuah siri drama yang menghimpunkan bakat hebat dari empat negara – Singapura, Australia, Malaysia dan New Zealand – dalam satu naskhah yang menjanjikan kelainan dari segi penceritaan serta latar.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebuah siri drama yang menghimpunkan bakat hebat dari empat negara – Singapura, Australia, Malaysia dan New Zealand – dalam satu naskhah yang menjanjikan kelainan dari segi penceritaan serta latar.

'Korban' adalah sebuah produksi kerjasama antara Singapura dan New Zealand yang dirakam sepenuhnya di bumi Kiwi.

SARAT EMOSI DAN PENCERITAAN KEMANUSIAAN

"Memulih, berisi jawapan yang mungkin sedang dicari, dan benar" – itulah antara kata-kata yang sering kedengaran daripada pengarah, penerbit, penulis, dan barisan pelakon utama drama Korban Bahagian 2, yang menjalani penggambaran selama enam minggu di Christchurch dan South Island, New Zealand.

Drama enam episod itu menyelami tema identiti, budaya, dan warisan kulinari, dipersembahkan menerusi naratif yang penuh emosi dan penghayatan.

KEMBARA SEORANG CEF MENCARI RASA

Kisah ini digerakkan melalui kembara dan pergelutan seorang chef wanita berbakat yang mengalami kehilangan deria rasa.

Ia satu krisis peribadi yang membuka ruang untuk penonton menelusuri erti sebenar pengorbanan, harapan, dan pemulihan.

Selain disajikan dengan latar pemandangan yang memukau, kehadiran nama-nama besar dari seberang tambak seperti Aiman Hakim dan Hans Isaac turut menjadi daya tarikan utama Korban.
Barisan pelakon utama (dari kiri) Aaron Khaled, Hans Isaac (Malaysia), Nurul Aini, Evander Brown (New Zealand) dan Rae Salehah. Seorang pelakon Malaysia, Aiman Hakim tidak dapat hadir pada saat akhir. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Kemunculan semula Hans Isaac, yang telah enam tahun bersara dari dunia lakonan untuk menceburi bidang politik, perniagaan, dan mengetuai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), juga menjadi sorotan.

"Perjalanan hidup kita tidak selalu sempurna dan selesa. Korban menunjukkan benda itu. Perjalanan yang semua karakter-karakter, tidak kira yang mana, ada perjalanan mereka masing-masing dan anda akan pelajari sesuatu daripada watak-watak drama ini," ujar Hans kepada wartawan.

Ini diakui pelakon Singapura yang kini bermastautin di Australia, Aaron Khaled yang memainkan peranan sebagai majikan Aisyah.

"Saya rasa penonton akan rasa empati. Macam dapat merasai perasaan Chef Sam dan apa yang dilaluinya. Banyak kali dia cuba, dia cuba, dia sentiasa gagal. Tapi kita mesti terus mencuba kerana begitulah kehidupan," ujar Aaron yang memainkan watak Chef Sam.

Seperti judulnya, Korban menuntut bukan sahaja pengorbanan emosi, tetapi juga fizikal daripada para pelakon.
Rae Salehah (kanan) dan Evander Brown melakonkan pasangan silang-budaya dan kerakyatan dengan meyakinkan, berkat keserasian yang dibina dengan rasa hormat. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Rae Salehah, pelakon utama yang memenangi anugerah menerusi bahagian pertama drama itu, mendedahkan pengorbanan peribadi yang dilaluinya demi menjayakan watak Aisyah.

"Cabaran terbesar adalah berlakon di New Zealand sepanjang dua bulan tanpa suami saya. Sebab suami saya yang selalu masak untuk saya bila saya di rumah. Walaupun saya mainkan watak cef, dia yang selalu masak dalam hidup saya. Jadi, jadi bila penonton tonton drama ini, ada babak-babak yang membuat orang bertanya, 'Kenapa Aisyah jadi kurus sangat?' Itulah cabaran Rae yang paling susah sekali - tak dapat makan suami punya masakan," dedah pelakon watak utama 'Aisyah', Rae Salehah.

KESERASIAN LINTAS BUDAYA YANG SEMULA JADI

Keserasian di antara dua pelakon utama Rae Salehah dan pelakon New Zealand, Evander Brown cukup meyakinkan walaupun ini merupakan kali pertama mereka berlakon secara bersemuka.

Penggambaran siri pertama Korban dibuat secara berasingan antara dua negara akibat kekangan pandemik COVID-19, menjadikan interaksi mereka ketika itu hanya terhad kepada skrin.

"Saya dan Evander sudah berkawan sejak Korban Bahagian pertama. Walaupun melalui Zoom, tapi banyak diskusi dengan skrip yang kita dapat. Jadi, bila kita dapat berjumpa buat kali pertama di Bahagian Kedua, macam, 'Eh, saya kenal anda dan anda kenal saya'.

Namun lebih daripada itu, kata Rae, terdapat persamaan budaya yang mencetuskan keserasian semula jadi antara mereka.

"Satu perkara yang tak dapat kami elakkan adalah bahawa adat Melayu kita dengan orang Maori betul-betul serasi. Tak beza jauh. Jadi bila saya nampak dia atau bila saya dapat masuk di New Zealand, orang Maori dengan orang Melayu macam adik-beradik. Muka kita serasi, makanan pun juga sama," tambahnya.

Hubungan itu juga dihidupkan dalam cara Evander mendekati watak dan interaksi mereka di set.

"Jadi sekarang Evander dengan saya macam jadi kakak dengan adik. Jadi keserasian di antara kami amat semulajadi sebab saya sebagai wanita Muslim-Melayu, dan dia amat menghormati. Kalau ada babak intim, pegang tangan atau kalau babak dia kena dukung saya sebagai pasangan yang bercinta, Evander akan selalu bertanya kalau saya merasa selesa dengan caranya. Dan ia sesuatu yang saya amat-amat hargai dan bersyukur. Ini juga yang selalu kami bincangkan. Bukan sahaja di antara saya dengan Evander, tetapi juga dengan pengarah dan penerbit juga, sebab mereka amat-amat menghormati dan saya betul-betul bersyukur dapat bekerjasama degan pengarah yang betul-betul faham dengan adat seorang wanita Melayu Muslim," jelas Rae kepada wartawan.

"Seperti hubungan kakak-adik. Seperti susun suai gambar atau 'jigsaw puzzle' yang kami cipta bersama, dan kami hubungkan semua kepingannya. Semudah itu dengan Rae. Dan beliau juga mengajar saya banyak perkara berbeza. Begitu juga para pelakon yang lain," celah Evander Brown, pelakon dari New Zealand yang memainkan watak pasangan Aisyah, 'Ari' dalam drama Korban.

PERSAMAAN YANG MENGAKRABKAN

Evander Brown turut berkongsi pandangannya mengenai keserasian tersebut.

"Banyak persamaan antara Maori, bahasa saya dan bahasa Melayu. Contohnya, kita juga sebut ‘mata’, sama dalam Maori, kita panggil telinga kita ‘taringa’, dan ‘rua’ bagi nombor dua dan 'rima' untuk nombor lima."

Meskipun berlakon dalam bahasa yang bukan bahasa ibundanya, Evander percaya bahawa komunikasi dalam lakonan tidak terhad kepada dialog lisan semata-mata.

"Ada dialog dengan menggunakan suara, ada dialog melalui mata, melalui emosi, melalui pergerakan tubuh. Dan ya, saya bergantung kepada deria-deria lain ini sebab saya tidak faham apa erti setiap perkataan, tetapi saya faham dasar atau konteksnya."

Tambah Evander, sokongan daripada barisan pelakon turut memainkan peranan besar dalam membantunya memahami dan menyampaikan watak dengan lebih berkesan.

"Saya juga mempunyai rakan pelakon yang amat membantu dan menyokong saya. Apabila saya cakap, 'sibuk, sibuk, sibuk', mereka ketawa dahulu dan kemudian membantu saya," ujarnya.

PELUANG KEEMASAN MENJENGUK TEMPAT-TEMPAT YANG SUKAR DIJANGKAUI

Salah satu aspek paling menarik dalam Korban Bahagian 2 adalah bagaimana drama ini berjaya membuka akses ke lokasi-lokasi yang sebelum ini sukar untuk dimasuki, termasuk tempat yang sangat bermakna dalam budaya Maori dan komuniti Islam di New Zealand.
Jeevan Nathan (tengah) Penerbut Eksekutif, Pengarah, Penulis skrip Korban Bahagian 2. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Penerbit Eksekutif, Pengarah dan Penulis Skrip Korban, Jeevan Nathan, berkongsi pengalaman istimewa mereka sewaktu penggambaran.

"Marae adalah tanah suci orang Maori dan mereka tidak membenarkan penggambaran atau apa pun di lapangan itu. Namun mereka memberi produksi kecil kami keizinan untuk masuk ke dalam sebuah Marae dan merakamkan satu babak penting ini di dalam Marae. Ia amat bermakna sekali,"jelasnya.

Selain daripada itu, Jeevan juga menyentuh tentang detik menyentuh hati di Christchurch, lokasi serangan tragis terhadap komuniti Muslim beberapa tahun lalu.

Kami juga menemukan masa untuk mendekati masjid di Christchurch yang mengalami tragedi serangan ganas beberapa tahun lalu. Kami berbual dengan orang-orang masjid, dengan imam masjid itu dan beliau memberi kami kebenaran untuk membuat penggambaran di masjid itu! Sebelum itu mereka tidak pernah membuka pintu kepada sebarang penggambaran, sejak peristiwa maut itu," dedah Jeevan kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Drama yang bukan sahaja memperlihatkan kekuatan lakonan, tetapi juga menyentuh nilai kemanusiaan dan warisan budaya itu ditayangkan setiap Khamis 9.30 malam mulai 29 Mei di TV Saluran Suria, mewatch, dan Mediacorp Drama on YouTube.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita