Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Konsert solo Hattan bawa emosi penonton larut dalam kesyahduan

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hattan gagal menahan sebak saat mendendangkan lagu Rendang Tak Berbuah ketika menjayakan konsert solo, 'Hattan 35 Years Journey', yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Ahad (5 Jun).

Insiden itu berlaku ketika Hattan - atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin, 57 tahun - mengimbau kenangan bersama ibu tercinta, Allahyarham Hindon Md Sani, yang menghembuskan nafas terakhir pada 7 Disember lalu akibat penyakit jantung.

Dengan suara bergetar, Hattan berkongsi kisah berkat restu seorang ibu hingga mampu memberi kejayaan kepadanya selama 35 tahun berjuang sebagai anak seni, lapor BH Online.

"Pada awalnya, arwah ayah dan emak agak keberatan mengizinkan saya bermain muzik. Mereka mahu saya menyambung pengajian.

"Tetapi saya ambil keputusan untuk bekerja. Suatu hari, saya pulang ke kampung dan terfikir macam mana nak mulakan kerja bermain muzik.

"Kami orang susah tetapi emak tetap hulur RM20 (S$6.26) kepada saya. Saya tahu mak bukan ada duit banyak, mungkin duit ini dia mahu membeli beras.

"Namun, kerana anak, emak beri juga. Dari situ, saya berjanji tidak akan sia-siakan duit ini," ujar penyanyi bersuara 'jantan' itu sambil menerima tepukan semangat daripada penonton.

Sepanjang tiga jam beraksi, Hattan menunaikan janji dilafazkan bukan sekadar untuk memberi hiburan tetapi mengajak penonton kembali bernostalgia menerusi koleksi lagu yang didendangkan, lapor BH Online.

Hasilnya, emosi penonton larut dalam kesyahduan vokal Hattan yang seakan merintih terutama ketika menyanyikan lagu bernada melankolik seperti Meniti Perjalanan, Arca, Dia, Memburu Rindu, Sekuntum Mawar Merah dan Mahligai Syahdu. 

Hattan kembali menghangatkan suasana menerusi lagu rancak seperti Biso Bonar dan lagu pembuka tirai konsert, Gerhana, Duit, Satu Malaya Dah Tahu serta Samba Apa Saja.

Pada malam tersebut, anak jati Seri Menanti, Negeri Sembilan, itu turut menampilkan anak terunanya, Adam Eiman, sebagai penyanyi undangan.

Selain menyanyikan lagu solo, Adam berduet dengan Hattan menerusi lagu Gadis Jolobu.

Kali pertama mengadakan konsert solo berskala mega sempena meraikan perjalanan kerjaya seninya selama 35 tahun, Hattan membuktikan yang dirinya sememangnya penghibur hebat.

Meskipun usianya melewati separuh abad, vokal Hattan tetap mantap. Sepanjang tiga jam melantunkan suara di atas pentas, Hattan bukan sahaja tidak goyah, malah, tidak nampak kepenatan langsung, lapor BH Online.

Malah, sistem bunyi bermutu menjadi penyumbang mengapa konsert anjuran Mewah Event Management itu menjadi antara konsert yang mesti ditonton tahun ini.

Seperkara menarik mengenai konsert itu adalah sepanjang beraksi, Hattan dilihat selesa berkomunikasi menggunakan dialek Negeri Sembilan yang menjadi tanda dagangnya dalam media sosial, sekali gus, membuatkan penonton berasa cukup dekat dengannya.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan