Konsert Siti Nurhaliza di Singapura ditambah lagi sehari 'atas permintaan ramai', jelas penganjur
(Gambar: SAH Entertainment/Instagram)
SINGAPURA: Para peminat penyanyi tersohor Siti Nurhaliza yang tidak berjaya merebut tiket konsert 'Fenomena - Live in Singapore' pada 29 Jun tidak lagi perlu berputih mata.
Ini selepas penganjur acara SAH Entertainment pada lewat Selasa malam (6 Feb) mengumumkan tarikh kedua bagi konsert Siti Nurhaliza di negara ini.
Pengumuman tarikh kedua konsert itu dibuat meskipun pihak penganjur sebelum ini menyatakan tiada konsert tambahan akan diadakan bagi penyanyi terkemuka itu "demi memelihara eksklusiviti seseorang artis itu".
Tarikh kedua itu bagaimanapun ditetapkan sehari sebelum tarikh pertama konsert pada 29 Jun, iaitu pada 28 Jun.
"Selepas tiket konsert untuk 29 Jun habis dijual, terdapat maklum balas memberangsangkan selama empat hari berturut-turut yang meminta untuk mengadakan konsert tambahan.*
"SAH Entertainment dan pasukan Siti Nurhaliza sudah saling bersetuju untuk memenuhi permintaan peminat dari Singapura, Malaysia dan Brunei," menurut pengarah SAH Entertainment, Sufi Rashid.
Atas sebab itu, SAH Entertainment dalam catatannya di laman Instagram membuat pengumuman khas bagi mereka yang sudah berjaya membeli tiket bagi konsert pada 29 Jun.
"Bagi pemegang tiket sedia ada, anda akan dibenarkan menukar tiket konsert pada 29 Jun kepada 28 Jun.
"Maklumat lanjut akan didedahkan tidak lama lagi," umum SAH Entertainment.
Sufi Rashid menambah: "SAH Entertainment sentiasa memberi keutamaan kepada pandangan pelanggan dan pembeli tiket kami, iaitu mutu yang kami yakin membezakan kami dalam industri ini."
Penjualan tiket bagi konsert pada 28 Jun masih belum dibuka dan akan diumumkan tidak lama lagi, jelas pihak penganjur.
Sufi turut berkongsi kepada BERITA Mediacorp: " Kedua-dua malam konsert akan menawarkan persembahan, aturan lokasi dan tenaga yang serupa. Kami yakin kedua-dua SAH Entertainment dan pasukan Siti Nurhaliza akan memberikan tenaga yang sama pada kedua-dua malam."
"Daripada kami di SAH Entertainment, ia satu penghormatan bagi kami untuk menganjurkan dua konsert bagi artis legenda buat julung-julung kalinya.
"Terima kasih atas sokongan anda," menurut pihak penganjur di Instagram.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.