Skip to main content

Hiburan

Konsert "Search Rockin’ Temasek" pada 9 Sep ini

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Selepas persembahan hebatnya di showcase ROCKL4SIK @ Esplanade pada 18 Mac lalu, kugiran rock legenda Search, yang dianggotai oleh Din dan Kid bersama Yan, Firdaus, Min serta vokalisnya Den Den, akan kembali mengadakan konsert di The Theatre Mediacorp pada Sabtu, 9 September jam 8.00 malam.

Konsert ini boleh dikatakan hasil kolaborasi tiga negara iaitu gabungan Search, kugiran rock dari Malaysia, dengan vokalisnya dari Indonesia, Den Den, manakala RAB International (S) Pte Ltd dari Singapura pula diberi kepercayaan penuh dalam pengurusan artis dan penganjuran konsert.

Bagi pihak penganjur, usaha sama ini terbit demi menghiburkan para peminat dan pencinta muzik, bukan sekadar tanah air tetapi seluruh Asia Tenggara.

“Kami di RAB International berbesar hati untuk menganjurkan konsert SEARCH..Rockin’ Temasek kerana jenama SEARCH ini amat besar dalam industri muzik di rantau Asia Tenggara, malahan di seluruh Asia.

“Kami selaku penganjur menitikberatkan kualiti untuk memberi yang terbaik kepada penonton, sinonim dengan visi kumpulan SEARCH. Dedikasi terhadap peminat ini menjadi pembakar semangat untuk menghasilkan sesuatu yang istimewa buat kumpulan SEARCH dan khususnya buat para peminat kugiran rock legenda ini,” kata Pengarah Projek RAB International, Cik Juressa Ong.

“Kami ingin memberi persembahan terbaik agar ia menjadi satu pengalaman istimewa bersama semua peminat dan pencinta muzik secara amnya,” ujar Din, gitaris SEARCH.

RAB International dan SEARCH juga memenuhi tanggungjawab sosial dengan mengunjungi dan berinteraksi bersama para penghuni Rumah Peralihan PERTAPIS.

“Ini kali pertama kami, SEARCH, terlibat dalam acara kebajikan di Singapura. Kami berharap inisiatif ini dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada para penghuni,” tambah Din.

Selaku penganjur konsert pula, RAB International mengikrarkan S$10 daripada hasil penjualan setiap tiket konsert akan disalurkan kepada Rumah Peralihan PERTAPIS.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita