Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Konsert Rossa pada 27 Mei raikan 25 tahun ceburi seni nyanyian

Anggaran Waktu Membaca:
Konsert Rossa pada 27 Mei raikan 25 tahun ceburi seni nyanyian

Gambar: Agensi berita/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Tahun ini, genap 25 tahun penyanyi terkenal dari Indonesia, Rossa berkarya dalam industri nyanyian.

Penyanyi berusia 43 tahun itu membawa khabar gembira untuk para peminat kerana bakal mengadakan Konsert 'Rossa 25 Shining Years' bagi meraikan perjalanan kariernya selama lebih dua dekad dalam industri muzik Indonesia.

Konsert itu bakal berlangsung pada 27 Mei ini di Istora Senayan, Jakarta, lapor Astro AWANI.

Menurut Rossa, kira-kira 27 lagu akan dinyanyikan dalam konsert itu nanti.

Antaranya, lagu-lagu hit seperti Terlanjur Cinta, Wanita Yang Kau Pilih, Hijrah Cinta dan Memeluk Bulan.

Kata Rossa lagi, pemilihan 'Shining' pada konsert kali ini adalah sebagai tanda sinaran atau kilauan kepada setiap insan sepanjang 25 tahun dalam karier nyanyian.

"Shining itu aku pilih kerana pertama, pasti semua ingin berkilau. Semua orang mahu bersinar dalam hidupnya, jadi selama 25 tahun ini aku menganggapnya berkilau iaitu bukan sekadar satu warna sahaja, namun warnanya boleh banyak, jadi aku memilih '25 Shining Years'," katanya dalam sidang media Konsert Rossa 25 Shining Years di Jakarta, Indonesia pada Selasa (17 Mei).

Konsert mega itu juga akan melibatkan empat pengarah muzik termasuk Andi Rianto dan Orkestranya.

Selain itu, ia turut menampilkan beberapa artis jemputan termasuk Ariel Noah, Afgan, Boy William dan Lyodra.

Tambah Astro AWANI lagi, selepas Konsert Rossa 25 Shining Years, Rossa akan turut mengadakan konsert di Surabaya dan Bandung pada Jun dan Julai depan.

Dalam kurang 10 hari lagi, pada peminat yang ingin ke konsert Rossa, boleh mendapatkan tiket-tiket di tiket.com.

DEDAH RAHSIA BERTAHAN SELAMA 25 TAHUN

Sri Rossa Roslaina Handiyani, nama sebenar, turut mendedahkan rahsia bagaimana beliau boleh bertahan selama 25 tahun dalam industri seni.

Paling utama katanya ialah rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan dan semangat dalam apa jua dilakukannya sehingga ke hari ini.

Pada masa yang sama, Rossa sentiasa bersikap tidak mudah selesa dengan kehidupan, sebaliknya sentiasa berusaha melakukan sesuatu untuk diri dan orang sekeliling.

Justeru, beliau terlibat dengan perniagaan dan setiap dilakukan memastikannya sentiasa kekal di hati peminat.

"Kalau aku bilang aku boleh berteman dan aku boleh berseronok dikelilingi sahabat aku. Dalam perniagaan, aku fikir manusia tidak boleh bangga dengan apa diraih sekarang, jadi aku menceburi bidang perniagaan.

"Kalau dalam perniagaan, manusia itu tidak boleh bangga dengan apa yang diraih, aku belajar untuk berniaga, aku ada Rossa Beauty, F&B, dan aku mula menubuhkan syarikatku, Inspired, untuk menginspirasikan semua orang di mana semua konsert dibuat oleh Inspire Recording.

"Kini, aku sedang mencari bakat baru untuk jadi artis baru. Inspired ini juga punya banyak mimpi dan mudahan ia boleh terwujud, semakin membesar dan boleh membantuku untuk terus relevan dan memanjangkan karier aku dan bisnes, serta akan memberi manfaat kepada orang lain," ujarnya seperti dinukil oleh Astro AWANI.

Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan