Skip to main content

Hiburan

Konsert Peterpan di Singapura ditangguhkan kurang seminggu sebelum tarikh asal; peminat kecewa

Anggaran Waktu Membaca:
Konsert Peterpan di Singapura ditangguhkan kurang seminggu sebelum tarikh asal; peminat kecewa

Poster penangguhan konsert Peterpan di Singapura. (Gambar: Onephoria Entertainment)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 29 Jun 2026 09:30PM Dikemas Kini : 29 Jun 2026 09:36PM
SINGAPURA: Para peminat kumpulan muzik Indonesia, Peterpan, melahirkan rasa kecewa selepas konsert itu yang akan diadakan di Singapura, telah ditangguhkan.

Konsert itu dijadualkan berlangsung di The Star Theatre pada Jumaat ini (3 Jul).

Namun, pihak penganjur, Onephoria Entertainment Pte Ltd (Onephoria) memaklumkan bahawa konsert itu telah ditangguhkan ke tarikh yang baharu iaitu pada 4 Oktober 2026, menerusi Instagram pada Sabtu (27 Jun).

Konsert itu juga akan diadakan di tempat yang berbeza, iaitu di Arena Singapore EXPO.

Menerusi profil Onephoria di Instagram, beberapa pengguna meluahkan rasa kecewa kerana pemberitahuan dibuat hanya beberapa hari sebelum tarikh konsert asal.

Ada juga yang menyatakan perubahan hari persembahan daripada Jumaat kepada hari Ahad, menyukarkan perancangan perjalanan dan cuti yang telah mereka ambil.

TIKET TETAP SAH UNTUK KONSERT YANG DITANGGUHKAN

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Ahad (28 Jun), pihak penganjur memberi jaminan bahawa semua tiket yang dibeli bagi tarikh asal kekal sah untuk konsert pada 4 Oktober 2026.

Para pemegang tiket tidak perlu mengambil sebarang tindakan buat masa ini, menurut kenyataan itu.
Pihak Onephoria turut berkata: "Keputusan ini dibuat selepas perbincangan menyeluruh di antara pihak penganjur, pasukan produksi dan pihak berkepentingan konsert, dengan komitmen bersama untuk memberikan pengalaman konsert terbaik kepada peminat Peterpan di Singapura.

"Masa tambahan ini akan membolehkan pihak penganjur terus mempertingkatkan keseluruhan pengalaman konsert, memperluaskan inisiatif penglibatan peminat serta memperkenalkan beberapa elemen menarik yang kini sedang dirancang," menurut kenyataan Onephoria.

Menerusi kenyataan itu, penangguhan konsert "The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita" akan memberi pihak penganjur peluang untuk memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada para peminat.

Dalam hantaran di Instagram, Onephoria turut memaklumkan bahawa pihaknya "telah menghantar e-mel kepada semua pemegang tiket sedia ada dengan maklumat terkini."
Konsert itu akan terus menampilkan anggota pengasas Peterpan iaitu Ilsyah Ryan Reza (Reza), Loekman Hakim (Loekman), Andika Naliputra Wirahardja (Andika) dan Hendra Suhendra (Indra).

Mereka akan bergandingan dengan artis jemputan yang diumumkan sebelum ini, termasuk Marcello Tahitoe (Ello), Rony Parulian, Tantri Syalindri (Kotak), Arda Hatna, Charly Van Houten dan penyanyi Malaysia, Hael Husaini.

Maklumat lanjut akan diumumkan menerusi saluran rasmi Onephoria Entertainment.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/rl
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita