Skip to main content

Hiburan

Konsert Nasyid Legenda hasrat jelajah seluruh M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Konsert Nasyid Legenda hasrat jelajah seluruh M'sia

Konsert Nasyid Legenda. (Gambar: Inteam/Instagram)

PETALING JAYA: Penganjur Konsert Nasyid Legenda, Inteam Records, berminat menganjurkan siri jelajah Konsert Nasyid Legenda di seluruh Malaysia, lapor BH Online.

Ini menyusuli sambutan memberangsangkan yang diterima konsert tersebut, yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu malam (29 Okt) apabila ia dihadiri hampir 1,000 penonton.

Mewakili Inteam Records, Hazamin berkata ramai peminat mencadangkan agar konsert itu dipentaskan ke seluruh negara selepas persembahan tersebut.

"Jadi, kami buka kepada penaja yang melihat kegemilangan konsert ini untuk menyokong agar siri jelajah dianjurkan.

"Tiket konsert ini habis dijual. Ini menunjukkan konsert seperti ini ada peminat. Malah, kalau hendak diikutkan, ada ramai yang datang mahu membeli tiket (malam tadi), jadi, kami terpaksa tambah sedikit kerusi.

"Kalau ada penaja yang mahu menyumbang, kami mahu buat jelajah di zon selatan, pantai timur, Sabah dan Sarawak... Insya-Allah," katanya kepada BH Online.

Hampir 1,000 peminat memenuhi Dewan Sivik MBPJ bagi menyaksikan Konsert Legenda Nasyid yang berlangsung kira-kira dua jam dan menghimpunkan kumpulan-kumpulan nasyid popular.

Konsert itu menampilkan artis nasyid legenda seperti Hijjaz, Rabbani, Nazrey Johani, Ustaz Akhil Hayy, Ustaz Hasnul, Ustaz Amal dan Inteam.

Turut membuat persembahan adalah Shahir Zawawi, Ustaz Raja Suhaimi dan Kumpulan Aydan, iaitu artis nasyid pelapis di bawah Rabbani.

Konsert Nasyid Legenda dipersembahkan dalam empat segmen iaitu era 1970-an, 1980-an, 1990-an, Tribute Allahyarham Ustaz Asri dan nasyid kontemporari penghujung era 1990-an ke 2000.

Antara lagu didendangkan adalah seperti Perjalanan 2; Jangan Menghina; Solatullah, Kembara Di Tanah Gersang; Seroja; Selimut Putih; Pergi Tak Kembali; Fatamorgana, Teman Sejati dan Puji Pujian.

Selain persembahan nasyid yang diiringi pemuzik, penonton disajikan dengan deklamasi puisi oleh Ustaz Dinie Juri dan lakonan sketsa, menurut BH Online.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita