Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Konsert Malai Solo Noraniza Idris ditangguhkan lagi

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Memulakan kerjaya nyanyian sejak usia awal remaja membuatkan penyanyi popular irama Malaysia, Noraniza Idris, 54 tahun, kental berdepan cabaran mendatang.

Segala badai serta onak duri yang ditempuh membuatkan penyanyi dari Kluang, Johor, itu kekal bertahan dalam industri seni hiburan tanah air.

Noraniza kini terus diuji apabila Konsert Malai Solo, yang sepatutnya berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, bermula 21 hingga 23 Oktober ditangguhkan lagi atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, lapor Harian Metro. 

"Banyak perkara yang membawa kepada penangguhan ini. Antaranya, saya dalam keadaan kerja satu lepas satu atau 'back to back'. Bila kita terbabit dalam kerja dengan masyarakat, memang terasa letih. Bertambah lagi apabila bercampur dengan perkara negatif buatkan saya rasa tak sihat, rasa sakit.

"Perkara ini sehingga membawa pengurusan saya, Mind Order, turut serta dan beri satu pandangan serta cadangan bagaimana untuk memulihkan keadaan," Harian Metro menukil kata-katanya.  

Beberapa faktor yang disebut menjadi punca penundaan kali ini adalah Pilihan Raya Umum (PRU) yang dikatakan bakal berlangsung, selain ketiadaan pengarah muzik Ramli MS untuk terlibat dalam konsert tersebut.

Selain itu, faktor jadual yang terlalu padat dalam program Akar Kita Zapin (AKZ) di beberapa lokasi seluruh negara membuatkan Noraniza kekurangan rehat.

"Diikutkan untuk konsert selama tiga malam, saya perlukan sekitar 45 hari untuk berlatih. Tapi dalam keadaan sekarang, AKZ ada banyak lokasi.

"Menjelang konsert perlu ada latihan. Kesihatan kena jaga. Apabila macam ini, saya agak tertekan. Tengok pada keadaan, saya tak sempat untuk saya buat latihan.

"Tok Ram pula tak boleh mengelak dari Gegar Vaganza kerana peserta kali ini hebat-hebat. Saya pula tetap nak Tok Ram juga kerana mahukan konsep muzik macam dulu," ujarnya.

Noraniza menegaskan 15 peratus tiket konsertnya sudahpun dijual. 

Bagaimanapun, situasi yang berlaku membuatkan beliau mengambil keputusan untuk menghentikan promosi konsertnya.

"Berita baiknya kami tak perlu bayar semula atau perlu bercakap dengan seorang demi seorang pembeli tiket. Kalau buat promosi lanjut mungkin saya agak pening uruskan tiket untuk tiga malam itu.

"Konsep jualan pula secara jualan pukal atau 'bulk sale' di jabatan kerajaan dan korporat. Cuma untuk sekolah, belum sempat dibuat lagi. Tunggu saya dan Tok Ram ada masa untuk kembali bekerjasama dalam konsert ini," katanya seperti dipetik Harian Metro. 

Sementara itu, Noraniza mahu menumpukan perhatian terhadap staminanya. Namun, beliau tetap merancang mengadakan Konsert Malai Solo berskala kecil.

"Skala besar Konsert Malai Solo akan dibuat betul-betul pada waktu yang tepat. Lokasi berubah dan harga tiket juga pasti berubah. Konsert saya sebenarnya babitkan banyak kementerian. Mungkin rezeki lain selepas ini.

"Sebenarnya, ketika buat perancangan, saya ikut cadangan kelapangan Istana Budaya. Mereka bagi jadual dan kami kena ikut. Sekarang masa untuk rehat dan bersedia dari segi mental. Nak buat konsert kena fikir betul-betul," terang lanjut.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan