Skip to main content

Hiburan

'Konsert Luar Biasa' tampilkan lagu baru, susunan muzik segar artis Indonesia, SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penyanyi Indonesia yang popular dengan lagu "Cinta Luar Biasa", Andmesh Kamaleng, bakal membuat persembahan pertamanya di Singapura dalam konsert satu malam.

Berjudul 'Konsert Luar Biasa', ia menampilkan artis-artis dari Indonesia dan tempatan.

Andmesh Kamaleng, Cakra Khan, Hady Mirza, Taufik Batisah dan Maya Raisha akan menghiburkan para penonton selama dua jam dengan nyanyian berduet, trio dan nyanyian solo.

'Konsert Luar Biasa' yang dianjurkan OffShore Entertainment Holdings Pte Ltd ini adalah konsert pertama seumpamanya yang menggandingkan artis Indonesia dan Singapura.

"Andmesh belum pernah membuat susunan lagu seperti ini dan ada juga beberapa lagu baru yang akanAndmesh tampilkan di sini dan yang pasti lagu yang Andmesh tampilkan adalah cerita yang sangat kuat, cerita yang sangat mendalam, setiap lagu Andmesh itu berdasarkan pengalaman peribadi dan pasti ada beberapa kolaborasi juga antara Cakra Khan dan juga Taufik Batisah. Andmesh juga berkolaborasi dengan Hady Mirza dan juga Maya," kata penyanyi, Andmesh Kamaleng.

Andmesh beraharap para penonton terhibur dengan persembahan yang bakal disajikan.

"Harapan saya adalah untuk penonton menikmati setiap lagu yang kita bawa, setiap lirik yang kita sampaikan dan setiap nada yang kita nyanyikan. Jadi ia bukan sebuah pertunjukkan yang biasa tetapi pastinya yang akan menggunakan hati dan sampai juga ke hati penonton," kata Andmesh.

Penyanyi itu turut berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa beliau akan mengeluarkan album keduanya tahun ini di samping mengadakan konsert di seberang tambak.

"Dalam waktu terdekat, album kedua Andmesh Kamaleng akan dikeluarkan dan juga konsert di Kuala Lumpur pada tanggal 4 Jun ini, sekiranya peminat di Singapura tidak berjaya mendapatkan tiket dalam konsert kali ini," kongsi Andmesh.

Selain itu, beliau juga menanam impian untuk menjadi penerbit muzik di Indonesia buat artis-artis tempatan.

Setelah agak lama tidak muncul di Kota Singa, Cakra Khan juga tampil untuk mengubati rindu para peminat dalam konsert itu.

"Jika ditanya kalau saya rindu, pasti saya rindu. Memang peminat saya di Singapura sangat menyokong kerjaya saya dan saya rasa kali ini rasa rindu itu dapat dibalas. Akhirnya Alhamdulillah di dalam konsert Luar Biasa ini, saya dapat pulang ke sini," kata Cakra Khan dengan nada ceria.

Penyanyi itu menjanjikan akan memberikan yang terbaik dalam persembahan pada 29 April nanti.

"Saya akan mempersiapkan yang terbaik mungkin dengan para penyanyi hebat, Taufik, Maya, Hady dan juga Andmesh malam minggu ini, pastinya akan berusaha menghibur semua peminat dengan sebaik mungkin, tambah beliau.

Baru-baru ini, Cakra Khan tular di media sosial selepas memuatnaikkan gambar beliau berada di temasya pentas "America's Got Talent".

Beliau bagaimanapun tidak boleh mengongsikan perincian selanjutnya dalam peraduan itu namun meminta sokongan kukuh dari peminat.

"Saya hanya minta doa aja, semoga diberikan kelancaran apa pun hasilnya nanti," kata beliau.

Turut berkongsi pentas ialah para penyanyi tempatan, Hady Mirza, Taufik Batisah dan bakat baru, Maya Raisha.

"Maya amat berbesar hati dapat berkongsi pentas bersama gergasi dalam industri ini dan saya mahu belajar dari mereka kerana mereka merupakan pemuzik yang sangat hebat," kata Penyanyi tempatan, Maya Raisha.

Apabila mendapat tahu akan digabungkan dengan artis-artis ternama ini, Maya berkongsi bahawa beliau sangat teruja dan ia adalah sesuatu yang tidak dapat dimpikan.

Berhubung sesi latihan yang dijalankan di dua negara yang berbeza, penyanyi tempatan, Taufik Batisah berkata bahawa ia tidak menjadi penghalang buat mereka.

"Kami pada mulanya akan berlatih secara sendiri dan kemudian pada sesi latihan apabila kami bertemu, secara profesional kami sudah tahu cara untuk bernyanyi duet bersama. Ini melalui pengalaman yang kami ada," kongsi Taufik Batisah.

Lebih daripada 5000 peminat dijangka hadir di konsert ini.

Selama dua jam, para peminat diharap terhibur dan diajak bernyanyi bersama-sama.

"Saya harap peminat akan beryanyi bersama dengan kami semua kerana lagu-lagu ini semua adalah lagu-lagu yang saya rasa mereka semua tahu dan saya harap semua akan berhibur pada malam esok," kata Hady Mirza.

Konsert Luar Biasa ini juga disokong oleh Kedutaan Indonesia di Singapura.

Anda masih boleh mendapatkan tiket untuk konsert ini di sini.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita