Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

'Konsert Luar Biasa' gabung 5 artis Indonesia, SG

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Suara yang merdu, membuai perasaan dan mampu menyentuh hati - begitulah keistimewaan penyanyi dari Indonesia, Andmesh Kamaleng yang bakal mengadakan konsert sulungnya di Singapura pada 29 April ini.

Bertempat di Teater The Star, 'Konsert Luar Biasa' juga bukan sahaja bakal menyajikan lagu-lagu popular Andmesh seperti 'Cinta Luar Biasa' dan 'Hanya Rindu', tetapi juga akan dihangatkan lagi dengan kehadiran rakan seperjuangannya dari Indonesia, Cakra Khan.

Malah, gabungan hebat tersebut juga bakal diserikan dengan penampilan artis-artis tempatan Taufik Batisah, Hady Mirza dan Maya Raisha.

"Bukan setiap hari anda dapat melihat lima artis berbeza berkongsi pentas pada satu harga sahaja.

"Ia akan menjadi malam luar biasa penuh emosi menerusi lagu-lagu yang akan menyentuh perasaan dan juga rentak-rentak yang menghiburkan", kata jurucakap Offshore Entertainment, yang juga penganjur konsert tersebut.

Pelibatan artis-artis tempatan juga sesuatu yang boleh "dibanggakan", jelas penganjur.

"Meskipun kami mempromosikan artis antarabangsa, artis-artis tempatan juga kami banggakan dan bersedia menyokong mereka meluaskan kumpulan penyokong mereka.

"Seronok dapat melibatkan mereka sekali untuk menjadikan konsert itu lebih lengkap," kongsi jurucakap tersebut.

'Konsert Luar Biasa' akan berlangsung di Teater The Star pada 29 April 2023, bermula jam 8.30 malam.

"Sebagai penganjur konsert, kami berharap para penonton akan pulang dengan senyuman lebar dan kenangan seumur hidup.

"Bagi para artis pula, semoga mereka juga dapat membuat persembahan yang hebat serta berkongsi bakat dan kerja keras mereka bersama dunia," kata jurucakap itu lagi.

Sebanyak 5,000 tiket 'Konsert Luar Biasa' disediakan bagi para penonton.

Tiket-tiket tersebut boleh didapatkan melalui SISTIC pada harga S$218, S$198, S$178, S$158 dan S$98.
Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan