Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Konsert Legasi Layar Perak bawa penonton imbau kembali zaman kegemilangan Jalan Ampas

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih 500 penonton memenuhi panggung bersejarah Capitol untuk menyaksikan Konsert Legasi Layar Perak, sebuah konsert penuh nostalgia dan inspirasi terhadap seni persembahan Melayu.

Konsert yang menjunjung budi artis-artis veteran anjuran Wadah Seni Entertainment itu diharap membangkitkan semangat generasi muda untuk meneruskan legasi kecemerlangan artis-artis legenda.

LEGASI LAYAR PERAK: LEBIH 500 PENONTON KENANG DUNIA FILEM MELAYU JALAN AMPAS

Selama lebih dua jam pada Rabu (30 Apr), para penonton dihidangkan dengan sajian memukau yang mengimbau era kegemilangan filem Melayu.

Alunan lagu dan persembahan yang menghidupkan semula semangat seni P. Ramlee, menjadi halwa telinga yang mengusik rasa dan nostalgia.

Sebanyak 30 lagu malar segar seperti 'Berkorban Apa Saja', 'Tiada Kata Secantik Bahasa', 'Dengarlah Gemala Hati', lagu keroncong 'Alunan Biola', 'Itulah Sayang', 'Gelora', 'Mengapa Riang Ria', 'Seri Dewi Malam, 'Jangan Menjeling', 'Jeritan Batinku' dan 'Di Mana Kan Ku Cari Ganti' didendangkan.

Barisan artis yang menjayakan konsert Legasi Layar Perak termasuk Haziq Rosebi, Rojer Kajol, Millah Hussein dan ramai lagi.

PENONTON DIBAWA INTAI KEHIDUPAN EKSKLUSIF SENIMAN LAYAR PERAK

Ada juga sketsa seperti babak ikonik filem Seniman Bujang Lapok menjalani sesi uji bakat 'screen test', juga tersisip pengalaman peribadi oleh pelakon cilik filem 'Satay', Eddy Ali yang mengenang ibunya, seniwati layar perak Norsiah Yem dan Azlina Aziz yang berkongsi kenangan sewaktu tinggal di Boon Teck Road, berdekatan Jalan Ampas.

Persembahan pada malam itu bukan sekadar membangkitkan nostalgia buat peminat seni klasik tetapi juga menyuntik semangat baharu dalam jiwa generasi muda.

"Saya mengharapkan masyarakat kita terus mengkaji, menggali lagi khazanah kita kerana kita seharusnya ingat bahawa dunia seni kita bukan sahaja biasa-biasa tetapi sebaris dengan Hollywood. Kalau di India ada Bollywood, Kollywood, kita pun ada Malaywood di Jalan Ampas, yang harus kita banggakan sampai bila-bila," ujar penganjur, Siti Aminah Ismail daripada Wadah Seni Entertainment.
Penganjur Siti Aminah Ismail daripada Wadah Seni Entertainment. (Gambar: Nana Karia/Facebook)
"Saya nak penonton ambil positif daripada konsert ini bahawa legasi layar perak akan berterusan jika ia dipupuk oleh masyarakat Melayu kita sendiri supaya lagu-lagu lama dan filem lama terus kekal relevan. Saya harap selepas ini, ada yang akan terus menjunjung budi artis-artis veteran," tambahnya yang lebih akrab dengan panggilan Ukhti Aminah.

Anak bongsu kepada seniwati Saadiah Baharom dan Ahmad Daud yang hanya mula menampilkan diri secara aktif dalam dunia seni lakon sejak sekitar 10 tahun lalu untuk meneruskan legasi ibunya turut membuat persembahan.

Ini pertama kali beliau menonjolkan bakatnya menyanyi, dengan penuh gaya, persis arwah bapanya, biduan dan seniman Ahmad Daud.

"Kalau dalam filem-filem, arwah mak saya dikenali sebagai seorang yang lembut, seorang yang romantis tetapi saya bersyukur sebab kerana kegarangannya itulah membentuk saya menjadi seorang yang tabah, kuat dalam mengharungi industri yang penuh pancaroba ini, terutama kami anak-anak legasi yang harus bekerja lebih kuat daripada pelakon ataupun penyanyi biasa. Macam kami yang meneruskan legasi arwah ibu dan ayah, orang kata kita perlu buktikan banyak perkara.

"Orang suka membanding-bandingkan kami dengan ibu-bapa kami. Jadi kegarangan, ketegasan arwah mak membentuk saya untuk menjadi lebih kuat, lebih tabah dalam industri ini, untuk meneruskan legasi mereka, kasih-sayang mereka dan nama baik mereka," ujar Fazlina Ahmad Daud.

LAGU 'GETARAN JIWA' VERSI BAHASA CINA

Ada juga segmen lagu-lagu saduran yang menampilkan penyanyi-penyanyi dari Orkestra Melayu Singapura, Rabiatul Ahmad dan Hafiz Hamzah.

Mereka mendendangkan lagu Hindustan Main Challi Main Challi dan biduanita Yusni Hamid pula menyanyikan lagu Cina, Wang Bu Liao Qing, saduran daripada lagu 'Getaran Jiwa'.

"Golongan muda hanya pernah mendengar lagu 'Getaran Jiwa'. Sekarang dengan adanya lagu 'Wang Bu Liao Qing' ini, mungkin membangkitkan semangat mereka. Kita harus berbangga. Kalau boleh, kita memang suka kalau lagu-lagu kita diangkat ke peringkat antarabangsa. Bukan hanya lagu-lagu dari Tan Sri P. Ramlee?" ujar Yusni Hamid.

Malam penuh nostalgia Legasi Layar Perak melabuhkan tirainya dengan penampilan istimewa oleh anak kepada pasangan seni legenda, Normadiah dan Aziz Jaafar, yakni Liza Aziz.

Juara Gegar Vaganza ke-11 itu mengalunkan lagu penuh makna, 'Lagenda'.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan