Konsert jelajah Justin Bieber di Singapura pada Oktober 2022
(Gambar: AEG Presents)
SINGAPURA: Justin Bieber menambah Singapura dalam senarai konsert jelajah Justice World Tour di Asia Tenggara. Bintang pop itu bakal membuat persembahan di Stadium Negara pada 25 Oktober.
Tiket bagi persembahan di Singapura itu bermula dari S$108 sehingga S$348, tidak termasuk yuran tempahan. Tiket mula dijual pada 21 April, 10.00 pagi di ticketmaster.sg serta semua cawangan Singpost dan melalui panggilan telefon di 3158 8588.
Penyanyi lagu Peaches itu juga bakal membuat persembahan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 22 Oktober dan di Jakarta, Indonesia pada 3 November. Selepas itu, Bieber akan ke Jepun untuk membuat persembahan di Nagoya pada 9 November, di Osaka pada 12 November dan juga di Tokyo pada 16 November.
"Kami sedang berusaha untuk memberikan persembahan terbaik yang pernah kami lakukan, dan kami tidak sabar untuk mengongsikannya kepada peminat di seluruh dunia. Saya akan menemui anda semua tidak lama lagi," kata Bieber dalam satu kenyataan.
Konsert jelajah Justice World Tour itu berlangsung selama lebih 100 hari meliputi 2022 dan 2023 dengan konsert diadakan di Amerika Utara, Amerika Selatan, United Kingdom, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Asia dan Timur Tengah.
Penyanyi berusia 28 tahun itu kini berada di Amerika Utara dan akan menuju ke Eropah pada lewat Julai.
Justice yang dilancarkan pada April 2021, merupakan album studio keenam Bieber yang menampilkan lagu-lagu hit seperti Anyone, Lonely, Holy dan Peaches.
Kali terakhir Bieber membuat persembahan di sini ialah pada 2013.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.