Konsert Hari Kebangsaan: Rahimah Rahim, adik & cucu buat persembahan istimewa, Hady Mirza nyanyikan lagu tema
Konsert Hari Kebangsaan (NDC) Mediacorp tahun ini lebih istimewa lagi sempena SG60 dengan penampilan penyanyi-penyanyi legenda termasuk Rahimah Rahim, Kit Chan dan dua Singapore Idol, Hady Mirza dan Taufik Batisah.
"Saya diundang untuk menyanyi bersama keluarga untuk Konsert Hari Kebangsaan kali ini. Jadi, memandangkan adik saya, Rozie, boleh nyanyi dan cucu saya juga, yang pertama, boleh menyanyi sebab dia anak murid Julian Wong. Jadi, saya pernah dengar, di sekolah, bukan? Saya pernah tengok dia nyanyi di sekolah dan juga kadang-kadang, bila saya buat persembahan ‘private show’,dia pun kadang-kadang jadi penyanyi latar untuk saya. Jadi, saya kata okey, kita tiga orang," kongsi Rahimah Rahim kepada wartawan Roslinda Rahmat.
"Apabila kita mula latihan bersama, bukan? Jadi, itu yang ‘eh, dia punya keserasian ada, kelakarnya pun ada.’ Yang mencuit hati itu sebab semua tidak ingat tapi, yang penting ialah kita menghabiskan masa itu, kita semua menghabiskan masa atau meluangkan masa," kongsi Rozie Rahim.
"Inspirasi terbesar saya adalah nenek saya sendiri. Sejak kecil lagi, saya melihat dan mendengar suaranya dan saya dapat melihat bagaimana dia menyentuh hati orang ramai melalui lagu-lagunya," kata ALY.
"Saya rasa dedikasinya terhadap muzik memberi saya semangat untuk mengekalkan warisan ini dan meneruskan dengan cara saya sendiri," tambahnya.
HADY MIRZA TAMPIL DENGAN LAGU TEMA KONSERT HARI KEBANGSAAN
Juara Singapore Idol musim kedua itu merupakan antara penulis seni kata dan penggubah lagu tema Konsert Hari Kebangsaan tahun ini berjudul "Ties That Bloom”.
Menurut Hady Mirza, kali terakhir beliau terlibat dalam persembahan Hari Kebangsaan adalah pada tahun 2008.
Oleh itu, Hady Mirza teruja dan bersyukur atas penglibatannya dalam konsert khas itu tahun ini.
"Ia adalah satu pengalaman yang sangat-sangat berharga. Saya sangat teruja kerana dapat peluang untuk menulis dan mengkaryakan lagu untuk Konsert Hari Kebangsaan ini. Saya rasa penting untuk ia menjadi satu lagu yang senang untuk dinyanyikan apabila kita nyanyikan ia beramai-ramailah. Jadi, saya harap apabila mereka semua bersama-sama dengan kami di atas pentas, dapat menyanyikan lagu tema Konsert Hari Kebangsaan ini bersama dengan saya", ujar beliau.
PELBAGAI KEGIATAN MENARIK SEBELUM KONSERT
Ini merupakan kali ketujuh konsert itu dianjurkan.
Konsert Hari Kebangsaan Mediacorp dan Taman di Persisiran akan bermula pada jam 7.30 malam pada Ahad (3 Ogos).
Sebelum itu, para pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti serta karnival bagi seisi keluarga seawal 4.30 petang.
Para pengunjung juga berpeluang menikmati sajian tempatan ikonik seperti popiah serta laksa dan mengimbau kenangan manis zaman dahulu dengan permainan-permainan klasik.
Bagi yang terlepas menyaksikan Konsert Hari Kebangsaan secara langsung, mereka boleh menontonnya melalui 'mewatch', 'Channel 5' dan "Mediacorp Entertainment on YouTube" pada 16 Ogos dari jam 7.30 malam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.