Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Konsert Gergasi KRU 25, penutup penuh gemilang buat KRU

Selang 25 tahun, empayar KRU bukan sahaja terus hidup, malah bertapak kukuh dan teguh.

Anggaran Waktu Membaca:
Konsert Gergasi KRU 25, penutup penuh gemilang buat KRU

(Gambar: @edryabdhalim/ Instagram)

Diterbitkan : 06 May 2018 04:28PM Dikemas Kini : 06 May 2018 04:37PM

KUALA LUMPUR: Pada era 90an, ketika dunia muzik antarabangsa dilanda kegilaan 'boyband' yang dicetuskan oleh New Kids on the Block, yang kemudiannya diteruskan oleh Backstreet Boys dan 'NSYNC, peminat muzik di Malaysia pula 'dijangkiti' demam yang hampir sama.

Tidak bermaksud menyamakan mereka dengan boyband luar, kerana realitinya arah muzik dan konsep mereka tidak sama, namun perlu diakui, fenomena yang dicipta tidak jauh berbeza.

Sold out tour, konsert dalam dan luar negara, lebih 10 buah lagu yang pernah mencapai kedudukan nombor satu di pelbagai carta muzik, banyak lagi anugerah industri lain di samping catatan lebih 1 juta jualan album; ia sebahagian daripada lukisan dalam kanvas mereka yang penuh warna-warni.

Itulah KRU. Berselang 25 tahun kemudian, empayar mereka bukan sahaja terus hidup, malah bertapak kukuh dan teguh.

Dengan 13 buah album dan ratusan buah lagu, tentunya bukan senang mahu memampatkannya dalam satu konsert berdurasi dua jam.

KRU ADAKAN SEGMEN PENGHARGAAN DanceKRU

Ironinya, menurut Astro Awani, konsert yang merupakan salam perpisahan KRU untuk peminat ini diraikan penuh meriah, sesuai dengan hebatnya legasi yang bakal ditinggalkan.

(Gambar-gambar: @edryabdhalim/Instagram)

Memulakan persembahan dengan rangkaian lagu The Way We Jam, Awas dan Terhangat Di Pasaran, baik Norman, Yusry mahupun Edry, berjaya menyuntik adrenalin penonton ke tahap tertinggi.

Bagaikan satu sesi karaoke beramai-ramai apabila peminat juga cukup 'sporting' untuk menyanyi bersama-sama lagu yang menjadi peneman mereka di zaman remaja.

Pilihan 16 buah lagu yang disampaikan merupakan lagu-lagu yang sehingga kini masih menjadi siulan orang ramai. Antaranya ialah Negatif, Mengerti, Apa Saja dan Oh La! La!, yang turut diselang-selikan dengan sesi 'imbasan semula' kisah humor dan jenaka yang terlakar sepanjang 25 tahun bergelumang sebagai anak seni, lapor Astro Awani.

Agak menarik juga apabila KRU membuat satu segmen 'tribute' untuk kumpulan penari yang suatu ketika dahulu sering bersama mereka menghidupkan setiap persembahan pentas, yang dikenali sebagai DanceKRU.

EDRY SEBAK, TERSENTUH DENGAN SOKONGAN RAMAI

Di tengah-tengah kerancakan tiga beradik ini mengusik sesama sendiri dan mengimbau kenangan masa silam, hati penonton terusik apabila Edry meluahkan penghargaan tidak terhingga buat para peminat yang setia di belakang mereka.

"Kami tak pernah jangka akan bertahan selama ini. Dulu semasa memulakan kerjaya sebagai artis, kami cuma mahu memberi hiburan, kami hanya mahu buat lagu," katanya sebak.

Dua jam berlalu tanpa disedari. Tatkala 'Fanatik' berkumandang sebagai encore, wartawan Astro Awani sedar itulah kali terakhir menyaksikan KRU bersatu di pentas.

Hakikatnya, KRU merupakan tiga bakat luar biasa yang bersatu di bawah satu jenama dan 50 tahun akan datang pun, belum tentu akan ada yang mampu menjadi pengganti.

Konsert Gergasi KRU 25 akan diteruskan hari ini (6 Mei) di Panggung Sari, Istana Budaya. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan