Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Konsert 'Gemilang' buka tirai sambutan 20 tahun Esplanade

Bagi meraikan pencapaian 20 tahun Esplanade dalam menjadi persada bagi merancakkan lagi landskap seni tanah air, pelbagai acara menarik bakal disajikan sepanjang 2022.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bangunan 'durian' 'Esplanade - Teater di Pesisiran' bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-20 tahun hadapan.

Bagi meraikan pencapaiannya dalam menjadi persada bagi merancakkan lagi landskap seni tanah air, pelbagai acara-acara menarik dalam bentuk fizikal mahupun digital bakal disajikan sepanjang 2022.

Menerusi siri 'PopLore', ia bakal membawa penonton mengimbau kembali karya-karya muzik tanah air sejak tahun 1960-an hingga ke hari ini.

Sebanyak 10 konsert 'live' akan diadakan dan bakal menampilkan tokoh-tokoh muzik tempatan seperti Dick Lee, Jeremy Monteiro, Charlie Lim, Najip Ali, Shabir, The Freshman dan ramai lagi.

hanie nadia hamzah

"Para penonton boleh menjangkakan konsert yang akan dipersembahkan dalam berbilang bahasa dan juga podcast, video dan juga sebuah pameran yang akan diadakan di Esplanade juga," kata Cik Hanie Nadia Hamzah, Penerbit di The Esplanade Co Ltd.

Acara-acara yang disajikan itu adalah usaha Esplanade bagi memartabatkan muzik tempatan dan mempamerkan bakat-bakat tanah air.

"Kami di Esplanade mengharapkan yang para penonton akan datang untuk memberi sokongan kepada siri 'PopLore' kami yang akan mereka saksikan sepanjang tahun 2022 ini dan berilah sokongan kepada artis-artis tempatan anda," tambah Cik Hanie.

KONSERT 'GEMILANG' IMBAU KEMBALI NOSTALGIA KONSERT, MUZIKAL YANG PERNAH DIPENTASKAN

Sebagai pembuka tirai siri 'PopLore' adalah konsert 'Gemilang - Sejiwa, Sekata, Seirama' yang akan dipentaskan pada Sabtu (1 Jan).

Konsert satu setengah jam itu membawa penonton mengimbau kembali persembahan dan konsert-konsert ikonik yang pernah dipentaskan di Esplanade sepanjang dua dekad.

Ini termasuk konsert 'Si Cempaka Biru' (2015), yang meraikan perjalanan seni biduanita Nona Asiah, konsert 'Suara Hati S. Atan' (2016) yang menampilkan muzik-muzik hit komposer terkenal S. Atan dan konsert 'Sayang Di Sayang' (2013) yang merupakan konsert terakhir ratu keroncong, Allahyarhamah Kartina Dahari.

gemilang hyrul

Barisan artis-artis tempatan lama dan baru yang akan menjayakan konsert ini termasuklah Fauzie Laily, Hanafie Warren, Huda Ramzan, Hyrul Anuar, Iskandar Ismail, Izzathy Halil, Liwani Izzati, Nana Karia dan Thaqif.

Lebih manis lagi, persembahan kali ini juga mencuit kenangan kesemua penyanyi itu kerana mereka sendiri pernah menjayakan persembahan di pentas Esplanade.

gemilang 2

"Ini adalah gabungan di antara yang lama dengan yang baru. Kali ini saya akan membawakan rangkaian lagu-lagu lama malar segar, klasik dan kami diberikan kesempatan untuk mengembalikan memori itu bersama dengan penonton," kata penyanyi Hyrul Anuar.

Bagi Hyrul sendiri yang sudah tidak asing lagi membuat persembahan di Esplanade, peluang kali ini tentunya suatu detik yang indah buat dirinya sepanjang 16 tahun dalam bidang seni.

"Esplanade ini telah membuka ruang dan peluang bagi saya untuk mengadakan pelbagai persembahan di mana saya juga dapat menyumbang secara kreatif, pelbagai persembahan dan pelbagai genre yang telah saya jayakan daripada pop, tradisional dan sebagainya," kata Hyrul.

Seorang lagi bintang yang bakal menghiburkan para penonton pada malam 1 Januari nanti adalah Najip Ali.

Beliau yang sudah banyak mementaskan penerbitannya di Esplanade sepanjang dua dekad, kembali memegang peranan sebagai Pengarah Kreatif untuk konsert 'Gemilang'.

gemilang najip ali

"10 tahun lalu bila Esplanade telah mengadakan konsert penghormatan, dalam 10 tahun itu saya lihat mereka telah membuat muzikal dan muzikal itu saya lihat lima daripada 10 muzikal itu adalah daripada saya yang saya mereka tari dan menjadi pembantu pengarah.

"Sekarang sudah 20 tahun pula, ada beberapa kenangan manis bukan sahaja saya lihat 10 tahun dulu saya ada muzikal, sekarang pula saya seorang penerbit dan pengarah konsert penghormatan seperti S.Atan, Rock 21 dan sebagainya," kata Najip.

"Saya telah melihat kehidupan saya, perjalanan saya sebagai anak seni daripada pertama Esplanade buka sampailah sekarang 20 tahun. Jadi kalau awak nak panggil saya ‘legenda’, ‘dah tua ke’, ‘dah veteran’, saya terima," tambah Najip, yang bakal mengacarakan konsert itu bersama pelakon dan pengacara popular, Nurul Aini.

Selain persembahan nyanyian, penonton juga dihiburkan dengan lakonan semula oleh para pelakon dari muzikal-muzikal seperti 'Fatih - The Prince & The Drum' (2019) dan 'Alkesah' (2020).

gemilang thaqif


Di samping meraikan pencapaian 20 tahun Esplanade, konsert 'Gemilang' juga merupakan penghormatan kepada para penggiat seni yang sudah banyak berjasa kepada industri tanah air.

Menurut Esplanade, ia juga satu tanda penghargaan kepada para peminat seni atas sokongan dan semangat yang diberikan dalam memperjuangkan seni tempatan.

Sehingga 500 penonton akan menyaksikan konsert sulung Esplanade bagi tahun baru 2022 itu nanti.

Tiket-tiket berharga di antara S$25 hingga S$45 setiap satu dan masih boleh didapatkan di SISTIC.

Menurut penganjur, perancangan konsert 'Gemilang' mula dilakukan sejak Jun lalu dan sudah beberapa kali diubah suai demi mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan