Konsert Dendang Warisan: Kota Singa tampilkan karya baru muzik tradisional tentang kehidupan di SG
Selain lagu-lagu klasik seperti Di Tanjong Katong, konsert selama satu jam itu juga akan menampilkan karya-karya baru.
Ia merupakan hasil garapan pengarah muzik Syafiqah 'Adha bagi konsert sulungnya itu.

Beliau juga memberi nafas baru kepada lagu-lagu klasik serta menyulamkan beberapa pembaharuan dalam susunan lagunya.
"Lagu-lagu yang saya gubahkan adalah berbaur unsur-unsur tradisional dan ia juga ada elemen progresif dan ini juga untuk meraikan betapa berkembangnya seni muzik tradisional Melayu di Singapura," tambah beliau.

Projek yang disokong Majlis Seni Kebangsaan dan Arts House Limited itu merupakan sebuah inisiatif untuk memperkasakan lagi muzik tradisional Melayu dengan warisan Singapura.
"Konsert Dendang Warisan: Kota Singa ini meraikan tepat-tempat, ikon-ikon mereka-mereka yang telah menjadikan Singapura, Singapura. Jadi tak perlu tunggu untuk Hari Kebangsaan, hari-hari biasa pun kita boleh meraikan apa yang kita rasa yang cukup kita bangga dengan kota kita ni dengan lagu-lagu tradisional," ujar Penerbit Kreatif konsert Dendang Warisan: Kota Singa, Saiful Amri.

Konsert itu juga menampilkan kumpulan Gendang Akustika dan buat pertama kalinya, berkongsi satu pentas dengan kumpulan dikir barat, Nibong Tunggal.
"Ini memberi peluang kepada anak-anak muda untuk sama-sama menjayakan dan melestarikan budaya kita dalam seni muzik Melayu gabungan dikir barat dan orkestra. Satu pembaharuan dalam arena muzik, industri orkes Melayu," kata Penasihat Nibong Tunggal, Idham Taal.
Dengan usaha tersebut, Gendang Akustika juga berharap agar muzik tradisional Melayu dapat meraih lebih banyak perhatian dan kekal relevan dalam arus semasa.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.