Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Konsert 'Blues Untuk Rakyat' ubat rindu Ramli Sarip dengan peminat di Pahang

Anggaran Waktu Membaca:
Konsert 'Blues Untuk Rakyat' ubat rindu Ramli Sarip dengan peminat di Pahang

Penyanyi Ramli Sarip. (Gambar fail: hakimimanaf_/Instagram)

KUALA LUMPUR: Penyanyi jolokan Papa Rock, Ramli Sarip mengubat kerinduan apabila tampil dalam Konsert Blues Untuk Rakyat di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota pada 5 Ogos depan.

Konsert julung kali diadakan sebagai tanda ingatan penyanyi kelahiran Singapura itu kepada peminat di Pahang dengan kapisiti lebih 3,000 penonton.

Ramli berkata, dia merindui peminat di Pahang apabila kali terakhir mengadakan konsert dengan kugiran Sweet Charity pada 1980-an di Stadium Darul Makmur.

"Ramai peminat yang datang. Selepas itu, saya tidak lagi berpeluang mengadakan konsert di Pahang. Rindu kepada peminat sentiasa muncul, namun apakan daya detik yang dinanti tidak muncul.

"Penantian sekian lama akhirnya muncul pada 5 Ogos depan apabila Konsert Blues Untuk Rakyat akan diadakan, kerinduan pada peminat di Pahang diharap dapat terubat," katanya kepada BH Online ketika ditemui semasa sidang media Konsert Blues Untuk Rakyat di Shahzan Hotel Kuantan, kelmarin.

Penyanyi lagu 'Bukan Kerana Nama' itu berkata, lapan pemuzik profesional akan mengiringi persembahan 22 lagu yang akan mengambil masa lebih dua jam.

Katanya, dia tidak sabar bertemu peminat di Pahang, untuk menyampaikan 22 lagu yang berunsur rakyat dan koleksi hits sepanjang zaman berusia lebih 40 tahun yang masih segar dalam ingatan.

"Turut didendangkan enam lagu baru seperti Ronggeng Rakyat, Cinta Di Sebalik Musim dan Surat Cinta Kuala Lumpur.

"Saya berharap peminat setia Ramli di Pahang tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan Konsert Blues Untuk Rakyat yang pasti menghiburkan.

"Jangan lepaskan peluang bernostalgia bersama saya, jadikan konsert ini sebagai kenangan tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila," katanya, lapor BH Online.

Sementara itu, jurucakap Ada Events Asia, Daniel Albert Yap, berkata selaku penganjur Konsert Blues Untuk Rakyat, beliau yakin konsert yang julung kali diadakan di Pahang ini akan mendapat sambutan peminat setia Ramli.

"Saya berharap peminat Ramli yang ingin menyaksikan konsert segera membeli tiket, hanya 3,000 tiket dijual," katanya.

Tiket konsert berharga RM98 (S$30) dan RM198 (S$58) boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com.my.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan