Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Konsert Barbarik janjikan persembahan rok paling gamat

Anggaran Waktu Membaca:
Konsert Barbarik janjikan persembahan rok paling gamat

(Gambar: barbarikpentaskeras/Instagram)

KUALA LUMPUR: Konsert Barbarik - Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur yang bakal diadakan pada Sabtu malam (24 Dis) boleh dijadikan medan untuk 'rockers' melepaskan 'gian' terhadap genre irama muzik itu.

Tunjang utama konsert iaitu gitaris, Joe, dan vokalis, Muss, menjanjikan persembahan rok paling 'gila' sebelum tahun 2022 melabuhkan tirai.

Joe atau nama sebenar, Abdul Zamin Abdul Kadir, 53 tahun, berkata Konsert Barbarik - Pentas Keras dirancang sejak lima tahun lalu.

"Saya sudah fikirkan penganjuran konsert ini sejak 2017. Acara ini berbeza dengan konsert lain."

"Kali ini, kami tampilkan teknik pementasan yang sangat megah selain menjanjikan persembahan bertenaga."

"Kami sudah bersedia membuat persembahan. Namun, tahap kesihatan menjelang hari konsert tetap menjadi keutamaan."

"Sehubungan itu, saya, Muss dan pemuzik lain gigih bersenam agar konsert berakhir dengan baik."

"Saya mahu jadikan acara ini sebagai konsert rok paling hebat tahun ini," kata bekas gitaris kugiran Wings itu kepada BH Online.

Sementara itu, Muss atau Mustaffa Din, 54 tahun, yang juga bekas vokalis kugiran Wings dan May menyifatkan penganjuran Konsert Barbarik - Pentas Keras berbeza dengan acara yang pernah disertainya.

Muss berkata kepada BH Online pilihannya untuk bersama Joe bagi menjayakan konsert berkenaan adalah tepat.

"Selepas dipujuk dan mendengar perancangan Joe, saya terbuka untuk bekerjasama."

"Jika konsert ini adalah persembahan biasa, saya mungkin tidak akan terbabit."

"Kami juga sudah lama tidak beraksi bersama. Selain itu, saya mahu mencabar diri."

"Konsep ditampilkan untuk konsert kali ini sangat tepat untuk saya berbuat demikian," katanya.

Mengulas istilah 'Barbarik' yang digunakan pada nama konsert itu, Muss memberitahu perkataan itu diambil daripada album studio ke-11 Wings berjudul Mr Barbarik yang diterbitkan pada tahun 2000.

Ketika itu, Muss masih menganggotai kugiran Wings.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan adalah 'Keris Tak Bersarung', 'Inspirasi Syakilla', 'Singa Dan Harimau', '203' dan 'Mayang Sulit'.

Konsert Barbarik - Pentas Kental dipentaskan di Zepp Kuala Lumpur, mulai jam 8.30 malam pada Sabtu.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan