Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Komposer terkenal Saari Amri 2 kali tolak tawaran gelaran Dato

Bukan sekali, tapi 2 kali komposer terkenal Saari Amri tolak tawaran untuk diberi gelaran Dato dari 2 Istana berbeza. Kenapa tolak gelaran yang semestinya menaikkan status sosial beliau? Ini jawapan seniman yang sudah menghasilkan banyak lagu-lagu hits itu... 

Anggaran Waktu Membaca:
Komposer terkenal Saari Amri 2 kali tolak tawaran gelaran Dato

Komposer Saari Amri (Gambar-gambar ihsan: Saari Amri)

BERITAmediacorp: Anda pasti sering mendengar lagu-lagu hits malar segar ini seperti Madah Berhelah (Ziana Zain), Di Sana Menanti Di Sini Menunggu (UKs), Setelah Aku Kau Miliki (Shima), Ramalanku Benar Belaka (Umbrella), Sembilu (Ella), Lamunan Terhenti (Aris Ariwatan) dan Gerimis Mengundang (Slam).

Itulah antara sumbangan yang 'menjadi' dari komposer terkenal Saari Amri - anak kampung dari Kelantan yang pernah bekerja sebagai buruh kasar di Singapura selama 5 tahun pada tahun 1985.

Mungkin dek mengenang sumbangannya kepada industri hiburan Malaysia itulah, Saari Amri ditawarkan gelaran Dato.

Namun tahukah anda bahawa beliau sebenarnya menolak tawaran gelaran Dato itu. Bukan sekali, tetapi dua kali - dari dua istana berbeza! Demikian pengakuan komposer terkenal itu kepada BERITAmediacorp.

Sebenarnya bukan mudah untuk memujuk komposer tersebut bercakap mengenai tawaran gelaran Dato yang ingin diberikan kepadanya itu. Mungkin juga beliau bimbang akan ada yang katakan Saari menunjuk-nunjuk kerana ramai penggiat seni pun tidak mengetahuinya sehingga kini.

Tawaran kedua bagi pangkat Dato diterimanya adalah sekitar dua tahun lepas.

Jadi, negeri mana yang sebenarnya menawarkan Dato kepadanya? Saari Amri memilih untuk tidak menyebutnya.

JADI, KENAPA TOLAK PANGKAT DATO?

Saari Amri memulakan kerjaya seninya dengan menciptakan lagu berjudul Pandang Pertama untuk Rohana Jalil ketika Saari masih bekerja di Singapura lagi.

Beliau tidak mempunyai atau mampu untuk mengikuti sebarang pendidikan formal dalam bidang muzik ketika itu. Ini penjelasannya kepada BERITAmediacorp tentang penolakan pangkat Dato itu ketika dihubungi baru-baru ini:

“Saya malulah dengan diri sendiri. Saya tak layak, apalah jasa saya? Bukan banyak jasa pun dengan negara, saya kata saya ada anak, kalau anak kahwin saya dapat cucu, automatik jadi Dato. Mereka ketawa.”

(Gambar ihsan: Saari Amri)

Saari seorang komposer yang pernah menjadi guru vokal kepada pelakon dan penyanyi Andy Lau di Hong Kong. Bagaimanapun katanya, beliau berkarya bukan kerana nama dan tidak mengejar gelaran.

“Saya tak perlu benda itu, cukuplah orang kenal saya. Lagipun saya suka lepak di mana-mana, di kedai mamak, kedai minum. Mesti orang akan fikir apalah Dato ni, hari-hari lepak sini," katanya lagi.

"SAYA JENIS TAK MALU MENJAJA LAGU SAYA..."

Selama 30 tahun mencipta lagu dan menerbitkan album, Saari berjaya menghasilkan sekitar 500 buah lagu yang masih diminati sehingga kini dan sering diperdengarkan di radio Singapura seperti WARNA 94.2 FM.

Ketika bekerja dengan syarikat rakaman antarabangsa BMG Music pada tahun 1991 sebagai pekerja stor sahaja dan dinaikkan pangkat menjadi pengurus, beliau berkesempatan menghasilkan lagu-lagu berjudul Duri Terlindung dan Aku Takkan Bersuara nyanyian Nike Ardilla yang berjaya mengangkat nama Saari di Indonesia kerana menjadi hits dalam sekelip mata di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.

(Gambar ihsan: Saari Amri)

(Gambar-gambar ihsan: Saari Amri)

“Saya jenis tak malu menjaja lagu saya ketika di BMG. Pernah bila lagu Ziana Zain dan Shima meletup, penyanyi Ella telefon saya. Saya bagi lagu Sembilu. Saya tak sekolah pun, Darjah 6 saja. Dari gaji $1,000 naik $5,000 waktu itu,” kongsi komposer tersebut.

Kami risik lagi isi hatinya, mengapa beliau menolak gelaran Dato untuk kali kedua. Ini jawapan komposer berusia 54 tahun itu dengan perlahan:

“Gelaran itu terlalu tinggilah dan saya banyak melihat kawan-kawan yang ada gelaran Dato, lain karektor dia, cakap berlagak. Watak dan percakapan pun lain dan ada dah tak boleh jumpa lagi. Saya bukan orang macam itu nak kena jaga imej bila dapat gelaran, nak lepak pun orang akan bercakap. Saya lebih suka macam ini seperti orang biasa. Saya selalu jumpa mereka dulu minum-minum tapi sejak pakai gelaran terus hilang, tak telefon (saya).“

Duduk di kedai-kedai biasa sememangnya sebahagian jiwanya sebagai budak kampung yang pernah susah sehingga terpaksa merantau ke Singapura menjadi buruh kasar. Beliau malah mengaku menjadi “budak selekeh Chow Kit."

BIARLAH JADI MACAM P RAMLEE...

“Memanglah, ada mereka sanggup bayar untuk dapat gelaran, puluh ribu atau beratus ribu. Itu biasa, saya lebih seronok macam ini biarlah jadi macam P. Ramlee. Bila ada orang langsung tak peduli, bila dah tidak ada barulah kelam-kabut orang beri dia macam-macam anugerah,” Saari menambah komen.

Mengulas mengenai kerja muziknya sekarang pula, Saari memberitahu BERITAMediacorp bahawa beliau hanya menanti masa yang sesuai untuk merakam dan menerbitkan lagu untuk anak lelakinya yang kini berusia 16 tahun.

Jika anda rindukan koleksi lagu-lagu hits yang pernah dihasilkannya, anda boleh menikmatinya dari saluran Saari Amri Official di YouTube. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan