Skip to main content

Hiburan

Komen PM Srettha tentang Taylor Swift bukan kritikan terhadap SG: Jurucakap pemerintah Thai

Selepas Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin mendedahkan pada bulan lalu bahawa Singapura sudah mengatur perjanjian eksklusif dengan Taylor Swift, seorang jurucakap kerajaan itu berkata pada Selasa (5 Mac) bahawa komen oleh PM Srettha tidak harus dianggap sebagai kritikan atau luahan cemburu terhadap Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Selepas Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin mendedahkan pada bulan lalu bahawa Singapura sudah mengatur perjanjian eksklusif dengan Taylor Swift, seorang jurucakap kerajaan itu berkata pada Selasa (5 Mac) bahawa komen oleh PM Srettha tidak harus dianggap sebagai kritikan atau luahan cemburu terhadap Singapura.

Dalam satu kenyataan hari ini, jurucakap bagi Pejabat Perdana Menteri Thailand, Chai Watcharong berkata PM Srettha menimbulkan topik itu bagi "menunjukkan kekaguman dan memuji Singapura".

"Membuat usulan insentif kepada Taylor Swift adalah satu pendekatan sangat bercita-cita tinggi. Ia berjaya meyakinkan Taylor Swift untuk melakukan persembahan secara ekslusif di Singapura ... (yang) mewujudkan banyak manfaat bagi negara itu," kata Encik Chai dalam Bahasa Thai.

Komen Encik Srettha, yang dibuat pada 15 Februari lalu di sidang perniagaan di Bangkok, adalah yang pertama untuk mencadangkan bahawa insentif kewangan dihulurkan untuk memastikan Swift tidak melakukan persembahan di negara Asia Tenggara yang lain.

Encik Srettha juga berkata pada ketika itu bahawa penganjur konsert, AEG memberitahunya bahawa pemerintah Singapura menawarkan bayaran AS$2 juta (S$2.6 juta) hingga AS$3 juta (S$4 juta) bagi setiap persembahan yang dilakukan sebagai ganti eksklusiviti, di mana Mediacorp difahamkan bahawa jumlah tersebut hampir dengan jumlah keseluruhan bagi kesemua enam persembahan dan bukan bayaran untuk setiap satu.

Seorang penggubal undang-undang di Filipina kemudian meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perjanjian yang dimeterai Singapura itu dan dilaporkan berkata "ia bukan apa yang seharusnya dilakukan oleh jiran yang baik", menyebabkan media melaporkan terdapat rasa tidak puas hati terhadap tindakan Singapura itu.

Pada awal Selasa, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong memberitahu wartawan di Melbourne bahawa beliau tidak menganggap perjanjian sedemikian sebagai satu "tindakan tidak mesra" kepada negara-negara jiran.

"Agensi kami merundingkan perjanjiannya untuk beliau datang ke Singapura dan melakukan persembahan, dan menjadikan Singapura satu-satunya perhentiannya di Asia Tenggara," kata Encik Lee apabila ditanya semasa satu sidang media bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese jika perjanjian tersebut menjejas semangat kerjasama di ASEAN.

"Ternyata ia satu perjanjian yang berhasil."

APA YANG DIMAKSUDKAN OLEH PM THAILAND

Semasa menjelaskan komen PM Srettha, jurucakap kerajaan Encik Chai berkata hari ini: "Nada dan maksud yang digunakan oleh Perdana Menteri Srettha apabila berbual mengenai isu itu, bukanlah untuk mengkritik atau meluahkan rasa cemburu terhadap Singapura."

Beliau menarik perhatian bahawa komen PM Srettha itu bermakna bahawa negara itu "ingin mempromosikan sektor pelancongan negara itu supaya mengkaji strategi Singapura".

Beliau menambah bahawa perjanjian itu "satu amalan perniagaan yang biasa" dan "tiada alasan mengapa Singapura harus berasa malu atas tindakannya itu".

"Seperti dijelaskan oleh Singapura, ia bukan sekadar insentif kewangan tetapi negara itu juga mempunyai faktor-faktor lain yang membuat pasukan (Swift) bersetuju dengan perjanjian itu," kata Encik Chai.

"Saya sedih kerana ada yang cuba mengancam tugas PM Srettha. Tolong hentikannya. Tiada sebab untuk kita cuba menjatuhkan maruah pemimpin negara kita. Dan tindakan ini kemungkinan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati tidak sewajarnya antara penduduk kedua-dua negara."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita