Skip to main content

Hiburan

Komedi fiksyen sains tempatan We Can Save The World!!! ditayangkan di pawagam mulai 18 Sep

Beberapa bulan kebelakangan ini merupakan tempoh yang suram bagi industri pawagam tempatan, dengan penutupan pawagam bebas kesayangan ramai, The Projector, dan Cathay Cineplexes yang menamatkan operasinya secara rasmi pada September.

Anggaran Waktu Membaca:
Komedi fiksyen sains tempatan We Can Save The World!!! ditayangkan di pawagam mulai 18 Sep

We Can Save The World!!! akan ditayangkan di pawagam Shaw, Golden Village, EagleWings dan Cineleisure dari 18 hingga 21 September 2025. (Gambar: We Can Save The World!!!)

SINGAPURA: Beberapa bulan kebelakangan ini merupakan tempoh yang suram bagi industri pawagam tempatan, dengan penutupan pawagam bebas kesayangan ramai, The Projector, dan Cathay Cineplexes yang menamatkan operasinya secara rasmi pada September.

Perkembangan tersebut turut memberi kesan terhadap perancangan bagi tayangan filem indie tempatan, We Can Save the World!!!.

Filem itu pada asalnya dijadual untuk ditayangkan di cawangan Cineleisure The Projector pada 1 Ogos. Namun, pawagam bebas tersebut mengumumkan bahawa ia akan mengosongkan ruang itu pada awal Ogos sebelum menamatkan operasi dengan sepenuhnya pada 19 Ogos. Kemudian, pada 1 September, Cathay, satu lagi rangkaian pawagam utama yang menjadi harapan pasukan produksi untuk bekerjasama, turut mengumumkan penutupannya.

Namun, penerbit bersama Martin Loh, 31 tahun, dan Lee Yi Jia, 29 tahun, bersama penulis-pengarah Cheng Chai Hong, 35 tahun, serta kakitangan penerbitan, tidak berputus asa.

Kegigihan mereka akhirnya membuahkan hasil, dengan adanya khabar gembira buat para peminat filem tersebut dan semua yang terlibat.

Pada Selasa (16 Sep), pasukan penerbitan mengumumkan di Instagram bahawa mereka berjaya mendapatkan slot tayangan dengan Shaw, Golden Village dan EagleWings. Pada Rabu, Encik Cheng memberitahu Mediacorp bahawa mereka juga sedang bekerjasama dengan Cineleisure.

Filem itu akan ditayangkan dari 18 hingga 21 September di Shaw NEX, Shaw Waterway Point, Shaw Lot One, Golden Village Yishun, EagleWings Cinematics di King Albert Park Mall dan Cineleisure Orchard.

Jadual tayangan hujung minggu hanya akan dikeluarkan pada 18 September. Encik Cheng berkata, bergantung kepada jualan tiket bagi Khamis dan Jumaat, pawagam mungkin akan menambahkan slot tayangan.

Sebaik sahaja slot baharu disahkan dan disenaraikan di laman pawagam, pasukan penerbitan akan berkongsi kemas kini tersebut di Instagram mereka.

Encik Cheng menambah bahawa beliau dan pasukannya menerima “banyak sokongan” daripada orang ramai bagi filem itu, sesuatu yang amat dihargainya, namun berharap sokongan itu dapat disaksikan dari segi jualan tiket.

Kehadiran penonton yang ramai, katanya, akan memberi isyarat kepada pengusaha pawagam bahawa filem bebas untuk generasi muda seperti We Can Save the World!!! wajar diberi sokongan.

“Mereka yang mahu melihat lebih banyak filem kami, yang mahu melihat pawagam dan filem tempatan terus maju, boleh membeli tiket dan berbual tentang filem ini bersama rakan, keluarga atau sesiapa sahaja,” kata Encik Cheng.

“Sambutan yang kami terima sangat mengharukan, jadi kami harap orang ramai bukan sahaja membeli tiket tetapi datang untuk menonton filem ini, sepucuk surat cinta kepada Singapura yang mengajak para penonton ketawa.”

Beliau menambah: “Kami sememangnya berharap dapat menambah lagi slot tayangan selepas hujung minggu ini, tetapi untuk itu, kami perlu lihat sambutan terhadap tayangan pertama ini.”

Kisah filem tersebut mengikuti watak Ryan, dilakonkan oleh pelakon Ah Boys To Men Noah Yap, seorang kakitangan pemerintah yang patah semangat. Ryan kemudian bertemu dengan Peng, dilakonkan oleh pelakon Malaysia Teoh Jun Vinh, seorang lelaki gelandangan yang mengaku sebagai makhluk asing yang terkandas di Bumi. Bersama-sama, Ryan dan Peng memulakan pengembaraan merentasi Singapura, membentuk persahabatan yang tidak disangka sepanjang perjalanan mereka.

“Kami berharap dalam 10 atau 20 tahun akan datang, filem-filem tempatan Singapura akan terus ada, kerana jika tidak, kita akan kehilangan sebahagian besar daripada budaya kita,” kata Encik Lee kepada Mediacorp.

“Kami sedar perkara ini tidak boleh berlaku dalam sekelip mata, tetapi kami percaya setiap rakyat Singapura boleh membantu membentuk masa depan yang mereka mahu lihat, walaupun hanya dengan membeli sepasang tiket pawagam.”

Tiket boleh dibeli melalui laman rasmi filem itu. Filem tersebut sebelum ini mengadakan tayangan galanya di Golden Village VivoCity pada 13 September.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita