Skip to main content

Hiburan

Khairy Jamaluddin gamatkan konti pada hari pertama sebagai DJ HotFM

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Slogan 'Menang 'selfie', kalah undi' menggamatkan hari pertama bekas Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin yang memulakan tugas sebagai penyampai HotFM, seawal jam 6.00 pagi pada Rabu (15 Feb).

Mengendalikan slot Bekpes Hot bersama Johan dan AG, Encik Khairy atau mesra disapa KJ, memulakan bicara dengan berkongsi butiran peribadi termasuk latar belakang pendidikan dan karier, selain pengalaman kecundang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November tahun lalu
Tampil santai dan ceria, Encik Khairy mengaku buntu memikirkan masa depan akibat hilang pekerjaan berikutan kalah pada PRU15.

"Saya ingat menang sebab apabila pergi berkempen, ramai yang ajak 'selfie'. Rupanya, saya kalah. Menang 'selfie' tapi kalah undi.

"Selepas kekalahan November lalu, saya tak tahu nak buat apa... Memang 'jammed' sebab fikir masa depan," katanya pada segmen Bekpes Hot di HotFM, dipetik daripada agensi berita BH Online.

Seorang lagi penyampai, Fara Fauzana bagaimanapun sedang menunaikan ibadat umrah.

Pengakuan 'Menang 'selfie', kalah undi' oleh Encik Khairy pantas menarik perhatian Johan dan AG apabila masing-masing menganggap ia sebagai slogan baru yang sesuai dipromosikan.

Terus berkongsi kisah tewas pada PRU15, Encik Khairy menyangka, sekalipun kecundang, beliau akan diberi pencen untuk tugas menteri yang pernah digalasnya.

"Sangka saya, walaupun kalah dalam pilihan raya, saya akan dapat pencen untuk tugas-tugas menteri yang pernah saya pikul sebelum ini.

"Rupa-rupanya, saya kena tunggu hingga usia mencecah 50 tahun baru boleh dapat pencen. Sekarang, saya baru 47 tahun. Maknanya kena tunggu tiga tahun lagi.

"Disebabkan itu, saya terima tawaran untuk jadi DJ Hot FM ini," katanya.

Menerusi segmen Siyeslah yang sebelum ini dikendalikan Fara, Encik Khairy berkongsi maklumat ringkas mengenai otot manusia.

Ketika diusik AG apakah perasaan apabila pendengar memuji suaranya mampu 'mencairkan' hati pendengar, Encik Khairy tergamam seketika.

"Tak tahu," jawabnya sambil tertawa, lapor BH Online.

Sebelum ini, BH Online melaporkan, kemunculan Encik Khairy sebagai penyampai Hot FM adalah untuk memberi keseimbangan kepada slot Bekpes Hot dengan membincangkan topik serius dan menyampaikan maklumat menarik untuk dikongsi bersama pendengar.

Kisah KJ bakal menjadi DJ HotFM mula diperkatakan selepas Hot FM membuat tawaran kepada Encik Khairy menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 pagi hingga 10.00 pagi.

Susulan itu, Media Prima Audio (MPA) mengesahkan Encik Khairy akan bertugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM serta bakal mengendalikan segmen Bekpes Hot, mulai Rabu.

Encik Khairy kemudian turut mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan AC Mizal.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita