Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Khai Bahar lancar lagu duet terbaru bersama Lia Aziz

Anggaran Waktu Membaca:
Khai Bahar lancar lagu duet terbaru bersama Lia Aziz

Penyanyi, Pelakon Khai Bahar. (Gambar: Khai Bahar Official/Facebook)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Khai Bahar mengakui kurang selesa apabila ada yang cuba menjodohkannya dengan rakan duet nyanyiannya.

Katanya, tindakan berkenaan dikhuatiri akan menimbulkan isu sekiranya beliau bekerjasama dengan penyanyi lain pada masa akan datang, lapor MalaysiaGazette.

“Yang tak seronoknya apabila ada orang hendak usik-usik kami. Yang nak jodohkan kami. Untuk saya dan rakan duet, perkara sebegitu buatkan kami rasa kurang selesa.

“Kami berduet sebab bekerja, bukan sebab hendak bercinta. Apabila timbul isu-isu sebegitu, saya pun risau macam mana hendak berduet dengan penyanyi lain. Lagipun saya hendak bekerjasama dengan ramai penyanyi pada masa akan datang.

“Saya tak mahu kalau perkara sebegini timbul sampai saya dan rakan duet takut hendak tangkap gambar bersama. Saya hendak orang di luar sana lebih terbuka,” katanya seperti dinukil MalaysiaGazette.

Khai berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran lagu duet terbarunya bersama penyanyi Lia Aziz berjudul Kaulah Syurga yang juga OST Drama 7 Hari Mencintaiku 3.

Bagaimanapun beliau menghargai sokongan peminat-peminatnya meskipun sering tampil duet bersama penyanyi wanita.

Khai berkata, perkara yang paling utama apabila tampil dengan lagu duet adalah mendapatkan keserasian agar sesebuah lagu itu dapat disampaikan dengan baik.

“Peminat selalu sokong dengan siapa sahaja saya berduet. Apa yang paling utama adalah hendak mencari keserasian dengan pasangan duet.

“Apabila orang nampak kami serasi, alhamdulillah. Kiranya sudah nampak hasil kerja kami itu berjaya apabila keserasian itu menjadi,” tambahnya.

Sebelum ini, Khai pernah bergandingan bersama Siti Nordiana menerusi lagu Satukan Rasa dan Aina Abdul menerusi lagu Nafas Cinta, lapor MalaysiaGazette.
Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan