Skip to main content

Hiburan

Khai Bahar dipilih Inteam nyanyi lagu disukai arwah ibu, Rabiatul Adawiyah 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Khai Bahar dipilih Inteam nyanyi lagu disukai arwah ibu, Rabiatul Adawiyah 2024

(Gambar: Facebook/Inteam)

Diterbitkan : 10 Mar 2024 01:37PM
KUALA LUMPUR: Selepas 23 tahun lagu berjudul Rabiatul Adawiyah dipopularkan oleh kumpulan Inteam, kini mereka memilih Khai Bahar untuk tampil bersama dalam pembikinan nyanyian semula lagu ini dengan judul Rabiatul Adawiyah 2024 (RA24).

Menurut Inteam, kerjasama bersama Khai Bahar menerusi lagu Setanggi Syurga versi baharu pada tahun 2020 mendapat sambutan luar biasa, sekali gus menjadikan projek kedua mereka menjadi realiti pada tahun ini, lapor Astro Gempak.

"Kami pernah bekerjasama dengan Khai Bahar di dalam versi baharu lagu Setanggi Syurga sebelum ini pada tahun 2020, dan kami melihat kerjasama tersebut sangat serasi dan mendapat sambutan hangat dari
peminat serta suara Khai juga sesuai dengan lagu-lagu Inteam," katanya.

Sementara itu, Khai akui, minatnya pada lagu-lagu Inteam melancarkan projek kolaborasi terbabit.

"Saya memang meminati lagu-lagu Inteam dan pernah menyanyikan lagu-lagu mereka secara 'cover' di media sosial.

"Lebih istimewa lagi, lagu Rabiatul Adawiyah ini adalah di antara lagu yang sangat disukai oleh arwah Ibu saya, dan pastinya ia menggamit nostalgia yang indah," katanya.

"Susunan muzik oleh Chaan kali ini lebih segar dan mengikut arus semasa namun tidak sesekali menghilangkan keaslian dan penghayatan asal lagu ini. Durasi lagu juga dipendekkan sedikit dengan sebahagian besar lagu dinyanyikan Khai Bahar dan sebahagian lagi oleh Inteam sendiri," tambah Rahim, Inteam.

Apabila ditanya mengapa sering menghasilkan lagu lama nyanyian semula dan tidak lagu baharu, Inteam menjawab ia sudah menjadi kebiasaan kumpulan itu.

"Sebenarnya sejak sebelum pandemik, kami telah menghasilkan lebih 10 lagu baru seperti Labbaikallah, Love of God, I Love Muhammad, Sollu Alan Nabi, Gapura, Selimut Kash dan lain-lain, cuma sudah menjadi kebiasaan bagi kami menjelang Ramadan untuk menyanyikan semula lagu lama dan berduet dengan artis arus perdana.

"Ini kerana lagu-lagu lama ini ada unsur nostalgia dan kami cuba memperkenalkan semula lagu-lagu berkualiti terdahulu kepada generasi sekarang yang mungkin mash belum dilahirkan ketika lagu ini dilancarkan dahulu," jelas Hisyam Inteam.

Menurut laporan Astro Gempak, lagu Rabiatul Adawiyah 2024 dilancarkan pada 8 Mac 2024 dan kini berada di seluruh platform digital seperti Spotify, Deezer, Apple music, Kkbox termasuk rangkaian Youtube Inteam Digital.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita