Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kes saman fitnah Naz Empire terhadap Awal Ashaari gagal lalui proses perantara

Kes saman fitnah sebuah syarikat khidmat ubah elok dan dekorasi rumah terhadap personaliti televisyen, Awal Ashaari, berhubung kerja-kerja pengubahsuaian di kediaman selebriti itu gagal diselesaikan melalui proses perantara kerana kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes saman fitnah Naz Empire terhadap Awal Ashaari gagal lalui proses perantara

(Gambar fail: Awal Ashaari/Facebook)

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah sebuah syarikat khidmat ubah elok dan dekorasi rumah terhadap personaliti televisyen, Awal Ashaari, berhubung kerja-kerja pengubahsuaian di kediaman selebriti itu gagal diselesaikan melalui proses perantara kerana kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

Peguam Sareekha Roslyna Mohd Rosly yang mewakili Naz Empire Sdn Bhd selaku plaintif berkata sehubungan itu, kes tersebut akan diteruskan dengan perbicaraan.

“Kedua-dua pihak telah memfailkan dokumen berkaitan perbicaraan termasuk pernyataan saksi. Pihak plaintif (Naz Empire) akan mengemukakan dua saksi termasuk Pengarah Naz Empire Azrianna Alyssa Azmil manakala Awal Ashaari akan memberikan keterangan bagi pihaknya selaku defendan,” katanya ketika dihubungi wartawan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar A.Shaarmini secara dalam talian (e-Review) pada Selasa (12 Jul).

Apabila ditanya mengenai tarikh perbicaraan, Peguam Sareekha Roslyna berkata kemungkinan tarikh tersebut akan ditetapkan semasa pengurusan kes seterusnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache pada 4 Ogos ini.

Sementara itu, peguam Hamizah Sobree yang mewakili Awal ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Pada 7 Julai 2021, mahkamah mencadangkan supaya kes saman itu dirujuk ke Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian, kes diteruskan dengan perbicaraan.

Pada 13 Nov 2020, Naz Empire memfailkan saman berjumlah RM3 juta (S$948,000) terhadap Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari kerana didakwa menjatuhkan imej, jenama dan reputasi syarikat serta pemilik syarikat terbabit di media sosial.

Syarikat itu mendakwa kerja-kerja pengubahsuaian di kediaman Awal dimulakan selepas Awal membayar deposit sebanyak RM100,000, (S$31,600).

Bagaimanapun, Awal menyatakan ketidakpuasan hati terhadap hasil atau mutu kerja plaintif dan memberhentikan syarikat terbabit daripada terus membuat kerja pengubahsuaian serta meminta memulangkan semula wang RM100,000 itu.

Plaintif mendakwa, Awal telah memulakan siri fitnah secara berterusan terhadap plaintif dalam laman sosial Instagram dan Facebook miliknya selain memuat naik satu siaran fitnah melalui siaran YouTube di pautan dengan nama pentas ‘SchaAwal’ bagi tujuan sama.

Awal turut memfailkan tuntutan balas pada 30 Disember 2020, dengan menuntut ganti rugi RM750,000 (S$237,000) daripada syarikat berkenaan berhubung kegagalan melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian di kediamannya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan