Kes lelaki serang Kamal Adli ditangguh kepada 26 Jun; empat minggu untuk pendakwa sediakan tawaran
Keadaan Kamal Adli selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura berikutan serangan di Singapore Expo pada 12 Mac 2023. (Gambar: kamaladli/Instagram)
SINGAPURA: Mahkamah membenarkan penangguhan selama empat minggu bagi pendakwa raya menyediakan tawaran untuk seorang lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli.
Hakim Daerah Terence Tay turut mengekalkan tiada jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 26 Jun untuk sebutan kes.
Tertuduh yang muncul melalui pautan video mengangguk apabila keputusan itu dibacakan kepadanya melalui jurubahasa.
“Pihak pendakwaan meminta penangguhan empat minggu untuk menyediakan tawaran untuk anda… tiada jaminan untuk anda,” kata jurubahasa itu.
Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negara pada 14 Mac kerana “disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya secara sukarela”.
Jika sabit kesalahan menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman.
Pada 12 Mac, polis dimaklumkan mengenai kes di 1 Expo Drive di mana suspek didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan kayu belantan yang kemudian dirampas oleh polis sebagai bukti.
Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.
Kamal dan isterinya Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula 10 Mac, di Dewan 5A Ekspo Singapura apabila insiden itu berlaku pada penghujung acara.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.