Kes Farid Kamil: Penyanyi nasyid pula akan hadir beri keterangan
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata penyanyi berkenaan dapat dihubungi menerusi wakil peguamnya pada petang tadi (8 Feb).
Pelakon Malaysia, Farid Kamil. (Gambar: Farid Kamil/Instagram)
PETALING JAYA: Polis mengesahkan seorang penyanyi kumpulan nasyid tempatan sudah dihubungi untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berhubung laporan polis yang dibuat pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari pada 31 Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata penyanyi berkenaan dapat dihubungi menerusi wakil peguamnya pada petang tadi (8 Feb).
"Penyanyi berkenaan akan hadir dalam tempoh terdekat manakala seorang lagi penyanyi daripada kumpulan R&B tidak dapat dihubungi," katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Karnival Sukan Piala Ketua Polis Negara 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya hari ini.
Awal hari ini, laman mStar melaporkan 2 lagi artis yang dikatakan membubuh dadah dalam minuman Farid Kamil diminta menyerah diri.
Menurut laporan yang sama, mereka adalah Ahmad Tajuddin atau Taj dari kumpulan Innuendo yang popular dengan lagu Belaian Jiwa pada tahun 90-an dan seorang lagi artis yang bernama Firdaus, namun tidak diberikan maklumat lanjut.
Media sebelum ini melaporkan Farid Kamil membuat laporan polis mendakwa dirinya dianiaya tiga rakan artis yang mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga berkelakuan ganas di Balai Polis Kota Damansara bulan lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.