Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kerajaan M'sia bentuk Majlis Penasihat Perfileman & Industri Muzik M'sia

Kerajaan menubuhkan Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia bagi menggubal dasar-dasar lebih proaktif ke hadapan demi membantu pemain industri berkenaan.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia bentuk Majlis Penasihat Perfileman & Industri Muzik M'sia

Menteri Annuar Musa menunjukkan piala Festival Filem Malaysia ke-31 ketika Majlis Sidang Media di Damansara, Kuala Lumpur pada 1 Dis 2021. (Gambar: BERNAMA)

ALOR GAJAH: Kerajaan menubuhkan Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia bagi menggubal dasar-dasar lebih proaktif ke hadapan demi membantu pemain industri berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata pembentukan majlis baru itu dibuat berikutan industri perfileman dan muzik negara mengalami satu lonjakan baru pasca pandemik COVID-19.

"Kalau kita tengok macam mana hampir RM100 juta (S$29 juta) dapat dikutip melalui filem Mat Kilau... sekarang ini ada filem Air Force yang sekarang ini sudah mencapai puluhan juta kutipan. Bermakna kalau ada filem berkualiti ia satu industri yang boleh berkembang besar.

"Jadi untuk maju ke hadapan, indsutri perfileman ini, kita perlukan tenaga-tenaga pakar untuk memberi nasihat kepada kerajaan serta industri dan kita pilih tujuh hingga 10 orang daripada industri perfileman dan lagi tujuh hingga 10 orang dari industri muzik untuk menganggotai majlis berkenaan," katanya.

Encik Annuar berkata demikian kepada wartawan selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau di Alor Gajah pada Sabtu (17 Sep).

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Hameed Myhtheen Kunju Basheer dan Speaker DUN Melaka Ibrahim Durum.

Encik Annuar turut mengumumkan Timbalan Speaker DUN Melaka merangkap ADUN Rim Khaidhirah Abu Zahar sebagai pengerusi majlis penasihat berkenaan.

Beliau berkata industri perfileman dan muzik berpotensi besar untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus menarik lebih banyak tenaga profesional untuk menyertainya.

Sementara itu, Encik Annuar berkata Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia perlu diteruskan bukan sahaja di peringkat negeri malah masyarakat perlu menganjurkannya agar semangat patriotisme itu dapat dibudayakan oleh Keluarga Malaysia.

"Ini adalah penting bagi merakyatkan sentimen dan juga kesedaran tentang kemerdekaan serta pembentukan Malaysia dan ini harus digalakkan dan dilakukan secara berterusan, tidak semestinya pada tarikh-tarikh yang ditetapkan sahaja," katanya.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan