Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kemunculan personaliti bukan Melayu dalam 'Berani Nyanyi?' beri kejutan dan kelainan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sepanjang tiga dekad dalam industri penyiaran tanah air, Vernetta Lopez, 50 tahun suka mencabar dirinya dengan sesuatu yang baharu - dari berlakon dalam drama, menjadi DJ Radio dan kini menyanyi pula.

Kemunculannya dalam episod pertama musim terbaharu 'Berani Nyanyi?' di saluran SURIA juga menjadi antara kejutan rancangan itu.

"Dengan begitu banyak kepelbagaian dalam rancangan itu, anda lihat peserta yang pertama sekali bukan bahasa utama mereka atau bahasa kedua tapi ambil cabaran dan anda dapat kumpulan peserta yang anda tidak jangka lelaki atau perempuan ini boleh menyanyi atau lakukannya dalam bahasa itu. Jadi anda dapat lebih banyak penonton berbeza yang ke saluran itu dan menonton rancangan itu," kata Vernetta kepada wartawan Syawal Yusoff.

Menurut Vernetta yang kini bertugas sebagai DJ stesen radio Gold 905, beliau sungguh teruja apabila ditawarkan untuk menyertai musim kali ini.

"Apabila Najip Ali bertanyakan kepada saya, saya merasakan ini adalah sesuatu yang sangat menarik. Saya kerap ulangi lagu-lagu itu di dalam kepala saya sebab saya takut terlupa lirik dan saya juga cuba memahami makna setiap kata-kata," ujarnya, yang mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa Ibunda ketika di bangku sekolah.

Nyanyian lagu 'Sha Na Na' dalam pusingan pertama 'Siapa Itu?' berjaya memberi kejutan kepada para juri.

Namun sayangnya, persembahan lagu 'Di Dadaku Ada Kamu' gagal memukau para juri.

"Semasa sesi latihan semuanya baik, tapi dalam pertandingan yang sebenar, saya terlupa sebaris lirik dan itu juga mungkin memeranjatkan para penari," jelasnya yang terkenal membawakan watak Denise dalam 'Under One Roof'.

5 ARTIS BUKAN MELAYU JADI PESERTA

Selain Vernetta Lopez, ada lagi empat personaliti bukan Melayu yang memeriahkan lagi musim 'Berani Nyanyi?' kali ini.

Mereka termasuk pemain bola Gabriel Quak, pelakon Shane Mardjuki serta pelawak Gloria Tan dan Rishi Budhrani.

Bagi Rishi, 39 tahun yang juga seorang pelakon ini merupakan kali pertama beliau terlibat dalam sebuah penerbitan Melayu.

"Saya telah melakukan ini (melawak) selama 10 tahun dan ini mungkin sudah menjadi zon keselesaan saya. Apa yang pertandingan paksa saya lakukan ialah untuk pergi jauh daripada zon keselesaan saya dan ia mengingatkan saya kepada benda-benda yang saya cintai tetapi tidak begitu mahir," kata Rishi yang tampil dalam episod keempat menyanyikan lagu 'Kelentang Kelentung'.

HARGAI BUDAYA SATU SAMA LAIN, LUASKAN BAKAT TEMPATAN

Selain peserta, musim kedua Rancangan Paling Popular Pesta Perdana 2023 itu juga turut menampilkan satu-satunya juri bukan Melayu, Gurmit Singh, 58 tahun.

Meskipun pertuturan bahasa Melayunya agak terbatas, itu tidak menghalang personaliti berbakat yang popular dengan watak 'Phua Chu Kang' suatu ketika dahulu daripada memberi komen yang membina.

"Pada mulanya saya terfikir mungkin saya patut mendengar lagu-lagu Melayu, mendengar radio Warna itu semua. Tapi saya terfikir jika saya buat begitu, saya mungkin dianggap seperti 'dibuat-buat' dan terlalu digilap," kata Gurmit yang menjadi juri jemputan untuk enam episod pertama rancangan tersebut.

Bagi Gurmit yang sudah bertapak dalam industri penyiaran tempatan sejak 1994, beliau berharap untuk lebih terlibat dalam program silang budaya, khususnya program Melayu.

"Saya rasa bagus apabila kita lakukan ini sebagai satu masyarakat di mana kita mengambil seseorang dari luar budaya kita untuk masuk, saya rasa dalam jangka panjang, ia akan membantu kita lebih menghargai satu sama lain," ujarnya.

Menurut Pengacara dan Penerbit Eksekutifnya, Najip Ali, 56 tahun penampilan artis-artis bukan Melayu ini merupakan satu formula yang berhasil dalam memberikan kelainan dan kejutan.

"Orang-orang (artis-artis) ini sanggup datang ke sini bukan sahaja untuk mempelajari Bahasa Melayu, lagu-lagu Melayu, tetapi mereka sanggup melakukan sesuatu semata-mata untuk menghiburkan para penonton kita. Ini satu komitmen yang sangat dalam, yang sangat saya hargai," kata Najip, yang turut berlakon dalam siri di Saluran 5, 'Sunny Side Up'.

MUSIM BAHARU 'BERANI NYANYI?'?

Meskipun belum lagi habis musim kedua, Najip Ali dan pasukannya sudah memikirkan antara kelainan dalam musim seterusnya jika ada.

"Saya nak tetap menjemput orang-orang yang telah melakukan atau membuat persembahan di musim pertama dan kedua 'Berani Nyanyi?' untuk sama-sama masuk dan sama-sama menghiburkan kita. Mungkin ada duet, trio, kumpulan saya tidak tahu tapi lebih ramai, lebih baik dan lebih menghiburkan.

"Dengan adanya mereka yang telah masuk 'Berani Nyanyi?' ini, saya pasti kehebatan mereka untuk kolaborasi, idea-idea mereka, cadangan-cadangan mereka ini akan lebih meriah, akan 'kilat' untuk televisyen," kongsi Najip, yang pernah menerbitkan siri popular 'Kopi O Teh Tarik'.

Di samping itu, beliau juga berhasrat untuk meluaskan lagi format rancangan tersebut ke saluran-saluran lain jika diberi peluang.

"Apabila saya menerbitkan sesebuah rancangan itu, memang di fikiran saya bukan sahaja di saluran SURIA, mungkin dapat dilakukan di Saluran 5 atau di Vasantham atau mungkin di rantau ini. Memang niat saya tapi saya ingin ikhtiarkan untuk melakukan ini. Ini adalah proses yang sangat rumit yang perlu banyak perbincangan tapi tidak mustahil," jelas Najip,

Enam finalis akan berentap untuk merebut gelaran juara 'Berani Nyanyi?' musim kedua dalam peringkat akhir, 2 Januari 2024 di SURIA dan mewatch.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan