Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Keluarga, masyarakat & makanan: Tradisi Hari Raya pelakon Anna Belle Fancis

Keluarga. Masyarakat. Makanan. Bagi Anna Belle Francis, tiga perkara ini menentukan keindahan dan makna Hari Raya.

Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga, masyarakat & makanan: Tradisi Hari Raya pelakon Anna Belle Fancis

Rasa cinta terhadap makanan dan keluarga membentuk banyak tradisi Hari Raya bagi Anna Belle Francis. (Gambar: Anna Belle Francis)

Diterbitkan : 31 Mar 2025 11:53PM Dikemas Kini : 31 Mar 2025 11:55PM
SINGAPURA: Keluarga. Masyarakat. Makanan. Bagi Anna Belle Francis, tiga perkara ini menentukan keindahan dan makna Hari Raya.

Pemilik bersama restoran, pencipta kandungan, dan bekas pengacara dan pelakon yang berusia 47 tahun ini pertama kali meraikan Hari Raya sebagai seorang Muslim pada tahun 2000, setahun selepas beliau memeluk agama Islam dan berkahwin dengan suaminya, pelakon dan penyanyi rap Sheikh Haikel.

Kini, 26 tahun selepas memeluk Islam, Anna Belle mempunyai pemahaman yang lebih mendalam dan peribadi tentang apa yang menjadikan tradisi Hari Rayanya istimewa.

"Sebelum berkahwin dengan Haikel dan mempelajari lebih lanjut tentang Islam, saya fikir Hari Raya hanyalah satu perayaan. Saya tidak berfikir terlalu banyak tentang kepentingannya atau bagaimana Ramadan membawa begitu banyak makna dan kepentingan," kata Anna Belle, yang memegang akaun Instagram dengan nama pengguna @belleamafia, memberitahu Mediacorp.
Anna Belle ketika memeluk Islam pada tahun 1999 di Darul Arqam, atau Persatuan Mualaf Singapura. (Gambar: Anna Belle Francis)
"Sekarang, Hari Raya sangat istimewa - ia adalah masa yang indah untuk keluarga, masyarakat, dan banyak makanan yang enak!" katanya.

"Pada masa yang sama, ia juga cara untuk meraikan dan mengucapkan selamat tinggal kepada bulan Ramadan yang diberkati.

"Ramadan dahulu adalah tentang menjalani ibadah puasa saya dan mencari cara bagaimana saya boleh 'bertahan' sepanjang hari. Sekarang, saya melihat lebih banyak berkatnya - ia adalah masa apabila saya boleh fokus untuk menjadi seorang Muslim yang lebih kuat dan lebih baik untuk keluarga dan masyarakat saya."

Baginya, Raya dan Ramadan datang bersama, dan ia menjadikan satu sama lain lebih bermakna.

DENGAN PENUH KASIH SAYANG: MAKANAN SATUKAN KELUARGA
Anna Belle, bersama suaminya Sheikh Haikel dan tiga anak mereka, meraikan Hari Raya pada tahun 2024. (Gambar: Anna Belle Francis)
"Keluarga amat bermakna bagi saya," kata ibu kepada tiga orang anak itu. "Saya selalu berdoa untuk menua dalam, dan memupuk, sebuah keluarga yang penuh kasih sayang."

Menurut Anna Belle, beliau merasa sangat bertuah kerana dapat meraih perkara itu apabila beliau berkahwin dengan Haikel dan menjadi sebahagian daripada keluarganya.

"Rojak adalah cara terbaik untuk menggambarkan keluarga saya sekarang - kami datang dari pelbagai latar belakang, dan makanan bermakna segalanya bagi kami."

Membesar dalam keluarga Eurasian dengan nenek sebelah ibu yang mempunyai keturunan Peranakan, Anna Belle diajar sejak kecil untuk bersopan santun dan menunjukkan rasa hormat semasa menyediakan makanan.

"Saya ingat duduk di atas lantai dapur yang dilapisi surat khabar, mengupas tauge dengan teliti kerana itulah cara nenek saya - Embah saya - mengajar saya untuk menghormati makanan yang kami sediakan. Dia selalu berkata ia membawa jiwa dan rasa kepada hidangan kami."

"Melihat hidangan masakannya di atas meja bermakna rumah dipenuhi dengan kasih sayang," tambahnya.

"Kegemaran saya adalah ayam buah keluak (hidangan yang diperbuat daripada ayam, kuah asam jawa dan kacang buah keluak) dan tart nanas serta kuehnya - yang paling sedap yang pernah saya makan sehingga hari ini."

"Selepas saya memeluk Islam, dia bahkan menggantikan bahan-bahan dalam resipi Peranakan seperti babi buah keluak dan babi guling (babi panggang) untuk memastikan ia halal."

Penghargaan mendalam Anna Belle kepada makanan membentuk pendekatannya kepada kehidupan keluarga. Apabila beliau menjadi sebahagian daripada keluarga Arab Haikel yang besar, beliau ingin membawa penghargaan kepada makanan, sama seperti yang beliau pelajari daripada Embahnya semasa kecil kepada sambutan Ramadan dan Hari Raya.

"Semasa beberapa perayaan Raya pertama saya, saya masih meneroka kehidupan sebagai seorang Muslim baru," katanya.

"Saya sangat menyayangi agama saya, tetapi kebaharuan ini boleh menjadi sedikit mengelirukan, jadi makanan menjadi sesuatu yang menyenangkan dan biasa."

Jadi, pada tahun pertama meraikan Raya pada tahun 2000, Anna Belle berusaha untuk mengetahui hidangan-hidangan yang disukai oleh Haikel dan keluarganya.

"Perkara yang lucu tentang makanan Hari Raya adalah setiap tahun kita bercakap tentangnya, tetapi setiap tahun, ia sentiasa sama," katanya sambil tertawa. "Sayur lodeh, rendang, ayam masak merah - ia tidak pernah berubah, dan kita suka semuanya."

Melihat bagaimana Haikel juga dibesarkan dengan makanan yang dimasak di rumah yang disediakan dengan penuh kasih sayang oleh ibunya dan neneknya yang telahpun meninggal dunia, yang dipanggil mesra sebagai Aunty Baba, Anna Belle meraih inspirasi untuk melakukan perkara yang sama beberapa bulan selepas perkahwinannya.

"Makanan Aunty Baba adalah istimewa - kegemaran seluruh keluarga yang menyebabkan ramai saudara jauh sanggup berjalan merentas pulau hanya untuk menikmatinya," katanya.

Anna Belle bertekad untuk menguasai hidangan-hidangan ini untuk Hari Raya dan acara-acara istimewa yang lain.

"Saya memberitahu Aunty Baba bahawa saya ingin mempelajari semua resepinya. Yang lebih penting, ia perlu dirahsiakan supaya saya boleh mengejutkan Haikel, ibu bapanya dan adik-beradiknya," verita beliau.

Beliau menghabiskan banyak waktu malam dan petang, ketika Haikel dan keluarganya keluar, untuk belajar dari 'air tangan' nenek mertuanya.
Setiap tahun tanpa gagal, Anna Belle akan membuat kuih sugee yang dipelajari cara membuatnya daripada nenek mertuanya. (Gambar: Anna Belle Francis)
Selepas sekitar setahun "berlatih", setelah menguasai beberapa hidangan, akhirnya beliau merasa cukup yakin untuk memberikan sentuhan peribadinya pada resipi-resipi Aunty Baba. Beliau menyusun hidangan penuh di atas meja dan membiarkan makanan itu membuktikan kebolehannya sendiri.

Semasa keluarganya makan, mereka menyedari ada sesuatu yang sedikit berbeza - ini bukan masakan Aunty Baba. Pada saat itulah beliau mendedahkan projek rahsianya.

Walaupun sekarang, lebih 20 tahun selepas pemergian Aunty Baba, Anna Belle kadang-kala masih membuat sambal goreng pengantinnya, ayam goreng yang berdasarkan resipi rahsia keluarga, kuih sugee, dan kuih lapis lapan,

"Saya tidak bakal melupakan," katanya.

Beliau juga merancang untuk mencatat resipi-resipi keluarga ini untuk diwariskan kepada anak-anaknya sebagai pusaka keluarga.
Kuih sugee yang Anna Belle gemar buat adalah salah satu daripada banyak resipi keluarga yang diharap dapat dicatat untuk diwariskan sebagai pusaka keluarga. (Gambar: Anna Belle Francis)
"Semasa kami bercinta, beberapa minggu sebelum Raya, dia meminta saya menemaninya pada pukul lima atau enam pagi untuk keluar. Saya fikir dia gila - apa yang dibuka begitu awal semasa Ramadan?" ujarnya.

"Dia menyuruh saya percaya padanya, dan kami tiba di Onan Road untuk membeli tepung, telur, dan yis untuk neneknya. Dia mahu menjalankan pembelian bahan-bahan makanan untuk Mak Cik Baba untuk Raya.

"Hati saya cair ketika itu juga. Ia menunjukkan kepada saya betapa pentingnya keluarga itu baginya dan betapa mendapatkan bahan-bahan yang betul adalah penting untuk membuat makanan terasa sempurna."

PERLUASKAN KASIH SAYANG KEPADA MASYARAKAT YANG LEBIH BESAR
Tahun ini, restoran beliau Hai Ge Ji menganjurkan kempen sumbangan dan pengagihan makanan kepada pelbagai pertubuhan. (Gambar: Anna Belle Francis)
Bagi Anna Belle, semangat Ramadan dan Hari Raya bukan hanya tentang keluarga - ia tentang masyarakat. Beliau belajar bahawa agamanya menghargai sifat tidak mementingkan diri sendiri dan kemurahan hati, jadi apa sahaja yang dia hargai di rumah, dia berharap dapat dikongsikan dengan orang lain juga.

"Semasa membesar, saya suka meraikan hari jadi saya dengan membantu," katanya, mengingati bagaimana beliau bekerjasama dengan rumah perlindungan anak perempuan, masjid-masjid, dan rumah-rumah anak yatim untuk mengagihkan makanan pada hari jadinya.

"Untuk hari jadi ke-40 saya, saya meluangkan masa sehari di rumah anak yatim, bekerjasama dengan kakitangan dan sukarelawan untuk menyediakan makanan untuk kanak-kanak."

"Pada tahun-tahun awal perkahwinan kami, rumah saya terasa seperti balai rakyat, terutamanya semasa Ramadan dan Hari Raya," katanya. "Ia adalah perkara besar dalam keluarga besar saya yang sangat murah hati - kedua-dua pihak saya dan keluarga mertua saya - untuk memberi pelbagai jenis hidangan kepada jiran-jiran kami, sama ada ia spaghetti atau lemak cili padi."

Kemurahan hati itu adalah sesuatu yang dlalui sebelum beliau berkahwin dengan Haikel lagi.

"Semasa membesar di Ang Mo Kio, jiran-jiran saya akan menyuap saya makanan mereka, dan apabila saya remaja dan tinggal bersendirian di Singapura sementara ibu bapa saya berada di luar negara, jiran-jiran saya menjaga saya dengan memasak untuk saya."

Bahkan gerai-gerai makanan di bawah rumahnya memainkan peranan: "Saya hampir hidup dengan 'makanan penjaja bawah'.

"Saya akan makan nasi ayam hampir setiap hari, dan penjaja-penjaja akan memastikan saya makan dengan baik. Ia sangat bermakna bagi saya, dan itulah sebabnya saya mendapat inspirasi untuk menjual nasi ayam juga."
Salah satu aktiviti pengagihan makanan yang Francis anjurkan dengan restorannya, Hai Ge Ji, adalah untuk rumah anak yatim. (Gambar: Anna Belle Francis)
Setelah menerima penjagaan sedemikian, beliau kini merasa bertanggungjawab untuk membalas budi. "Mengetahui ada kanak-kanak tanpa keluarga atau mereka yang bergelut untuk mampu membeli makanan, terutamanya semasa Ramadan dan Hari Raya, bolehkah saya tidak berbuat apa-apa?"

Keinginan untuk membalas budi mendorong pelbagai kempen sumbangan yang Anna Belle dan Haikel telah anjurkan selama bertahun-tahun - pertama melalui kedai burger mereka yang kini sudah tutup, Fat Papas, yang dibuka pada 2017 dan ditutup pada 2021, dan kini melalui restoran nasi ayam mereka di Kampong Glam, Hai Ge Ji Hainanese Chicken Rice.

Aktiviti pengagihan makanan ini melibatkan penghantaran hidangan nasi ayam ke rumah-rumah anak yatim untuk kanak-kanak berbuka puasa.

"Nasi ayam adalah salah satu makanan kegemaran kami, dan kami suka bagaimana ia menyatukan orang ramai," katanya. "Berkongsi nasi, dumpling wanton, kulit ayam rangup - ia adalah semangat kebersamaan yang sama yang kami rasakan semasa Hari Raya, kecuali sekarang, ia adalah sesuatu yang boleh kami lakukan sepanjang tahun."

Bagi Anna Belle, makanan juga tentang hubungan yang indah dan mencipta detik yang bermakna.

"Anda mungkin bergaduh dengan pasangan atau anak-anak anda sehari sebelum Raya, tetapi saat semua orang duduk untuk makan hidangan yang semua orang suka, tiba-tiba, semua ketegangan hilang. Itulah kuasa makanan - ia membawa orang kembali kepada kasih sayang."
Sumber : CNA/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan