Keluang Man bakal difilemkan selepas lebih 20 tahun
Selepas lebih dua dekad ia ditayangkan di televisyen, kini Keluang Man akan diangkat menjadi filem untuk ditayangkan di layar perak pula!

Keluang Man merupakan siri animasi popular dan diminati ramai pada akhir tahun 90-an dan awal 2000 dan merupakan siri animasi adiwira pertama di Malaysia.
KUALA LUMPUR: Ini berita baik bagi para peminat siri animasi Keluang Man!
Selepas lebih dua dekad ia ditayangkan di televisyen, kini Keluang Man akan diangkat menjadi filem untuk ditayangkan di layar perak pula!
Menurut Gempak.com, Astro Shaw baru-baru ini menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke filem bersama pemegang IP (Hak Cipta Intelektual) Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd bagi menerbitkan filem aksi pertama Keluang Man.
Kolaborasi ini sekali gus menjadikannya usaha memperkenalkan semula IP animasi adiwira legenda itu kepada generasi baru.
Keluang Man adalah siri animasi popular dan diminati ramai pada akhir tahun 1990-an dan awal 2000-an.
Mempunyai tujuh musim dengan lebih 140 episod, Keluang Man memiliki jalan cerita menarik yang memaparkan adiwira yang diinspirasikan oleh keluang dan menyelitkan elemen komedi.
Watak Borhan yang juga Keluang Man ialah seorang pesakit di sebuah hospital mental di Tumpoi dan berubah menjadi adiwira bagi membanteras jenayah pada waktu malam dengan bantuan rakannya, Tiong Man.
Dalam petikan Gempak.com, Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw Raja Jastina Raja Arshad berkata pihaknya berbesar hati bekerjasama dalam mengangkat karya animasi legenda itu.
"Meskipun jenama ini telah lama disiarkan, namun apabila ia diulang tayang selepas 10 tahun kemudian, ia masih mendapat sambutan baik dan itu membuktikan animasi adiwira ini mampu meninggalkan kesan di hati penonton dan sentiasa relevan mengikut peredaran zaman.
"Kami berharap berita baik ini dapat memberi keterujaan buat peminat dan sekali gus dapat membuktikan karya animasi tempatan mampu diangkat ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Keluang Man bakal memulakan pra-produksi dalam masa terdekat, lapor Gempak.com.
Pihak penerbit juga akan mengumumkan jangkaan tayangannya di pawagam kelak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.