Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

"Kelihatan warak tapi...": Hafidz Rahman jelaskan idea di sebalik 'Kafirun' yang tiketnya habis dijual

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekali lagi, pementasan Cherita Hantu hasil tulisan dan arahan Hafidz Rahman habis dijual dalam waktu yang sangat singkat.

Ramai yang meluahkan kekecewaan kepada pencipta kandungan yang juga dikenali sebagai 'Bonda Bedah' itu, sehingga ada yang menyindir: "Adakah pementasan ini untuk 'kafirun' sahaja?"

Namun hakikatnya, pihak penganjur telah menambah slot pementasan bagi edisi keempat Cherita Hantu yang bertajuk Kafirun. Kini terdapat 15 slot kesemuanya berbanding hanya tujuh pada tahun lalu.

Maka tidak hairanlah jika Hafidz lebih menumpukan perhatian kepada bagaimana beliau dapat membawa kelainan dalam pementasan terbaharunya.

"Ini kali keempat. Saya sudah cuba pelbagai taktik untuk menakutkan penonton dari atas pentas, seperti benda terbang atau teriakan. Jadi, bagi saya, cabaran sebenar adalah mencari sesuatu yang baru untuk penonton yang mungkin pernah menonton cerita ini sebelum ini," kongsi Hafidz kepada BERITA Mediacorp.

Cherita Hantu: Kafirun adalah sebahagian daripada VERSE, iaitu program sastera sepanjang tahun oleh Arts House Limited yang berharap dapat mengajak orang ramai melibatkan diri dalam seni sastera. 

Pelbagai acara lain akan dianjurkan di The Arts House di bawah program tersebut. 

MENGAPA 'KAFIRUN'?

Ditanya mengapa pementasan Cherita Hantu kali ini diberi tajuk Kafirun, yang merujuk kepada golongan yang mengingkari ajaran Islam, Hafidz menjelaskan bahawa tema tersebut selaras dengan acara Light to Night bertepatan VERSE yang bertemakan "Do You See Me?".

"Saya terfikir tentang mereka yang kita lihat secara zahir, sempurna. Mungkin mereka secara zahir kelihatan seperti orang yang tidak lepas solat dan warak. Tetapi di sebaliknya, mungkin ada rahsia, di belakang tabir," terang Hafidz. 

"Jadi saya menggunakan imaginasi saya untuk berfikir tentang mereka. Contoh, kita lihat orang ini berkopiah atau berjubah. Mereka ini orang yang warak. Tapi kadang-kadang mereka lebih sesat, kadang-kadang mereka lebih alim."

Lima kisah kesemuanya akan dipaparkan dalam Cherita Hantu: Kafirun dan semuanya ditulis Hafidz berdasarkan pengalaman sebenar.

"Semuanya cerita pendek yang baharu. Sebelum ini kita (merungkai) topik seperti mak andam, mencari hantu. Untuk kali ini kelainannya... ada kisah penunggu rumah dan sebagainya," kata Hafidz.

Beliau turut memberikan satu lagi 'spoiler'. 

"(Akan ada kisah) seorang ahli terapi yang merawat seorang pesakit dan pesakit ini kata dia boleh berbual dengan ibu yang sudah meningal dunia. Kesudahannya tidak dijangkakan sama sekali. Ia sesuatu yang penonton boleh nantikan."

ELEMEN YANG BUAT BULU ROMA BERDIRI

Seperti pementasan sebelumnya, Cherita Hantu: Kafirun menawarkan pengalaman empat dimensi (4D) dengan memanfaatkan elemen seperti bau bunga melur, selain visual dan bunyi, untuk membuat bulu roma penonton berdiri. 

Bacaan surah juga turut membangkitkan suasana yang mencengkam, seolah-olah penonton ditarik ke alam ghaib. Semua elemen ini, digabungkan dengan naratif cukup mantap, akan menjentik pelbagai emosi dalam diri penonton. 

"Saya tulis apa yang saya dah pernah lihat dengan apa yang orang beritahu saya. Ianya lebih alami. Saya berfikir ia membuatnya kelihatan nyata. Ia membuat kisah itu lebih 'dekat' dengan penonton," ujar Hafidz. 

"Jadi saya menggunakan pelbagai elemen untuk menguji pelbagai deria. Penonton akan terkena percikan air atau terkena lempar dengan bunga."

Hafidz juga berharap dapat melihat penonton 'terdiam' sewaktu pementasan kerana itulah menurutnya reaksi sewajarnya terhadap pementasan yang menakutkan. 

"Saya rasa senyap itu satu kunci... membuat sesuatu benda itu (lagi) amat menyeramkan. Kerana dengan dengan situasi yang agak senyap, saya rasa ia membuat kita lebih terfikir-fikir," tambahnya.

Gambar: Fatyn Afiqah
Pada akhirnya, Hafidz berharap penonton tidak terlalu taksub dengan apa yang dipaparkan.

"Ini adalah cerita walaupun ianya berdasarkan kisah-kisah benar, tetapi ianya diolahkan. Saya harap mereka dapat mungkin belajar sedikit sebanyak tentang orang di sekeliling mereka."
Sumber : BERITA Mediacorp/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan