Skip to main content

Hiburan

Kegilaan Blackpink terasa di SG; tiket pemandangan terhad masih tersedia untuk konsert pada 30 Nov

Kegilaan Blackpink sedang melanda Singapura dan bagi para peminat yang masih mahu menonton konsert Blackpink pada Ahad (30 Nov), pemeriksaan kami menunjukkan masih ada tiket yang boleh dibeli bagi tempat duduk dengan ruang pemandangan terhad.
Anggaran Waktu Membaca:
Kegilaan Blackpink terasa di SG; tiket pemandangan terhad masih tersedia untuk konsert pada 30 Nov

Kegilaan Blackpink sedang melanda Singapura. (Gambar fail: Emma McIntyre / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images menerusi AFP)

SINGAPURA: Kegilaan Blackpink sedang melanda Singapura dan bagi para peminat yang masih mahu menonton konsert Blackpink pada Ahad (30 Nov), pemeriksaan kami menunjukkan masih ada tiket yang boleh dibeli bagi tempat duduk dengan ruang pemandangan terhad.

Sabtu malam merupakan konsert malam kedua bagi Blackpink, yang merupakan kumpulan gadis K-Pop pertama mengadakan tiga persembahan berturut-turut di Stadium Negara, yang mempunyai kapasiti sekitar 50,000 penonton bagi setiap malam.

Pada hari pertama konsert Blackpink pada Jumaat, hujan lebat tidak melenturkan semangat para peminat setia yang tetap menunggu di luar Stadium Negara untuk mendengar persembahan pertama Blackpink di Singapura.

Ramai daripada mereka sebenarnya berjaya mendapatkan tiket bagi hari kedua dan hari ketiga persembahan, namun datang lebih awal untuk mendapatkan sedikit 'teaser' dan membeli barangan rasmi.

Ada juga yang datang semata-mata untuk menikmati suasana meriah K-Pop.

Sejak pagi lagi, peminat tegar membanjiri kawasan stadium, termasuk mereka yang terbang khas ke Singapura dari Malaysia, China, Mongolia, Myanmar dan negara-negara lain di rantau ini.

"Saya minat Blackpink selama enam tahun dan saya sebenarnya sudah menghadiri konsert mereka di Seoul dan konsert mereka memang menakjubkan.

"Sebab itu saya benar-benar mahu datang lagi. Kami juga tidak memerlukan visa untuk datang ke sini, jadi ia mudah. Itulah sebabnya kami datang lagi," kata seorang peminat Blackpink.

Istimewanya bagi konsert kali ini terdapat juga khidmat penghantaran beg ke lapangan terbang dari Stadium Nasional bagi para peminat yang ingin pulang ke negara asal sejurus selepas konsert.

Dalam pada itu, sebuah hotel kapsul di kawasan Bugis menyatakan, kesemua biliknya habis ditempah sepanjang hujung minggu ini, iaitu 30 peratus lebih tinggi berbanding waktu biasa.

Ekonomi Singapura dirangsang oleh lonjakan dalam aktiviti pelancongan tahun lalu berikutan konsert kumpulan Coldplay dan bintang pop Amerika Taylor Swift, yang menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS), menjana pendapatan sehingga S$450 juta.
Sumber : CNA/NY/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita