Skip to main content

Hiburan

Kasut 'Last Dance' Michael Jordan dijangka pecah rekod lelongan

Anggaran Waktu Membaca:
Kasut 'Last Dance' Michael Jordan dijangka pecah rekod lelongan

Gambar: Sumber

Diterbitkan : 04 Apr 2023 12:24PM
WASHINGTON: Syarikat lelongan terkemuka, Sotheby's memaklumkan kasut dipakai bekas pemain bola keranjang terkenal, Michael Jordan dalam kejuaraan 'Last Dance' dijangka memecah rekod dengan menjadi kasut sukan paling mahal pernah dilelong.

Bidaan diterima bagi kasut Air Jordan XIIIs sudah mencecah AS$1.8 juta (S$2.4 juta) hanya beberapa jam selepas lelongan bermula.

Nilai itu sudahpun melepasi rekod bidaan tertinggi bernilai AS$1.4 juta (S$1.86 juta) iaitu sepasang kasut Nike Air Ships milik Jordan yang dilelong pada 2021.

Beberapa pihak menjangkakan bidaan kasut Air Jordan XIIIs itu mampu mencecah sehingga AS$4 juta (S$5.31 juta) menjelang penutupan sesi bidaan pada 11 April ini.

Kasut sukan itu dipakai oleh Jordan ketika musim kejuaraan terakhirnya bersama Chicago Bulls pada 1997-1998, yang digelar 'Last Dance'.

Jordan memakai kasut itu ketika beliau menjaringkan 37 mata dalam perlawanan kedua siri akhir NBA 1998, sekali gus memastikan Chicago Bulls berjaya menumpaskan Utah Jazz 93-88.

Menurut Sotheby's, sebaik tamat perlawanan kedua itu, Jordan memberikan kasut berkenaan kepada seorang budak lelaki di dalam bilik persalinan sebagai tanda terima kasih kerana menemukan jaketnya yang hilang.

Di akhir musim, Chicago Bulls berjaya menjuarai kejohanan dan kisah kejayaan itu diceritakan semula dalam siri dokumentari 'Last Dance' yang diterbitkan pada 2020, mengisahkan mengenai musim terakhir Jordan bersama pasukan itu.

Kejuaraan NBA itu juga adalah yang keenam buat Jordan dan kali kelima beliau dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) NBA.

Tahun lalu, jersi dipakai Jordan dalam perlawanan pertama dijual pada harga AS$10.1 juta (S$13.31 juta), sekali gus menjadikannya 'memorabilia' sukan paling mahal pernah dilelong.

Jordan memenangi enam kejuaraan akhir NBA, dua pingat emas Sukan Olimpik dan pelbagai anugerah lain, serta dianggap sebagai antara atlit terhebat sepanjang zaman.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita