Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kamal Adli akhirnya bersuara; mahukan jawapan mengapa dipukul

Anggaran Waktu Membaca:
 Kamal Adli akhirnya bersuara; mahukan jawapan mengapa dipukul

(Gambar: Kamal Adli/Instagram)

KUALA LUMPUR: Pelakon Kamal Adli akhirnya bersuara hampir dua bulan selepas dipukul dengan belantan besi oleh individu tidak dikenali sehingga cedera teruk semasa sesi bertemu peminat di Singapore Expo pada 12 Mac lalu.

"Saya mahu pelaku itu diadili dan dengar penjelasannya secara berhadapan kenapa pukul saya," luah beliau.

Kamal juga berkata beliau mahukan jawapan sebenar mengenai tindakan individu terbabit.

"Sewaktu dipukul, saya ada bertanya sebab apa dan dia hanya senyap. Disebabkan itu, saya tidak berpuas hati dan polis tidak menjelaskan secara terperinci, cuma menjelaskan ia adalah isu peribadi sahaja.

"Saya hanya menunggu perbicaraan dan berharap dapat sesuatu yang ditunggu-tunggu.

"Saya mahu secara terperinci sebab apa pukul saya. Adakah memang dia mahu pukul saya atau ada orang hantar. Saya mahu tahu semua itu," katanya kepada BH Online.

Turut berhadapan dengan media buat kali pertama selepas menghabiskan masa kira-kira dua bulan berkurung di rumah sebagai langkah berhati-hati, Kamal menjelaskan, situasi tersebut banyak merubah dirinya.

"Saya tidak pernah rasa trauma sebelum ini, tetapi bila kena baru tahu rasanya bagaimana. Saya jadi takut untuk keluar rumah dan tidak membuat apa-apa hantaran di media sosial.

"Rasanya sangat tidak seronok disebabkan saya lebih banyak berkurung di rumah. Saya mudah takut apabila berhadapan dengan orang ramai.

"Bagaimanapun, saya perlu tangani perkara sebab masih perlu bekerja dan menjadi diri sendiri seperti dahulu," katanya.

Dalam masa sama, Kamal meluahkan rasa syukur apabila kecederaan yang dialami tidak begitu serius, malah sudah boleh kembali menjalani rutin harian seperti biasa.

"Saya bersyukur sebab kecederaan yang berlaku tidak teruk sebab nanti akan lebih susah. Sebagai langkah berjaga-jaga mungkin saya akan sentiasa berteman apabila keluar," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Kamal mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, bawah mata dan badan selepas diserang seorang lelaki berusia 34 tahun menggunakan belantan besi.

Kamal kemudian dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH) untuk menerima rawatan dan menjalani pembedahan.
Sumber : Agensi berita/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan