Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

'Kaki Nyanyi' mahu lahirkan lebih banyak kumpulan muzik Melayu di SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Melihat kurangnya kumpulan muzik Melayu mencetus ilham bagi pengarah kreatif, Najip Ali untuk menerbitkan sebuah pertandingan realiti baharu.

Maka itu terlahirlah program 'Kaki Nyanyi' yang akan mula ditayangkan di saluran Mediacorp Suria pada Selasa (3 Dis).

Beliau turut menggamit kembali kenangan ketika membesar dengan kugiran dan kumpulan muzik seperti Kembara, Trio Manja dan Ahli Fiqir.

"Kalau sekarang penyanyi sudah ramai tetapi kumpulan-kumpulan tidak ada, jadi itulah pertama mengapa tercetusnya idea untuk mengadakan satu persada atau peraduan di mana saya akan gabungkan penyanyi-penyanyi yang sudah lama atau baharu, mungkin dalam 10 atau lima tahun untuk sama-sama bertanding dalam sebuah peraduan," kata Encik Najip.

Konsep pertandingan 'Kaki Nyanyi' juga menurutnya berbeza dengan pertandingan nyanyian lain.

Ia akan menampilkan seramai 24 peserta yang terdiri daripada para penyanyi dan pencipta kandungan muzik.

Ada juga peserta yang sudah berkecimpung dalam industri muzik selama lebih sedekad.

"Ia bukanlah sebuah persada atau peraduan di mana mereka menyanyi secara solo, tetapi mereka akan digabungkan secara rawak untuk disatukan dalam satu kumpulan trio.

"Sepanjang rancangan itu, kami akan berikan mereka cabaran-cabaran yang tertentu yang menarik seperti di mana mereka harus mentafsirkan lagu-lagu kumpulan ataupun mereka harus membuat video dan juga lagu di atas pentas," kongsi Encik Najip.

Namun, beliau akur bukan mudah untuk menggabungkan bakat-bakat itu kerana mereka mempunyai tafsiran dan idea masing-masing.

"Jadi, saya akan tanamkan semangat, kriteria-kriteria atau nilai-nilai bagaimana untuk berkolaborasi dan harapan saya dengan adanya nilai-nilai ini, mereka dapat tentukan sesuatu objektif yang baik, menghiburkan, lain daripada lain ataupun yang luar biasa," ujar Encik Najip.

Selain bakat yang menonjol dalam bidang nyanyian, antara kriteria lain yang harus ada pada 24 peserta yang dipilih adalah kebolehan mereka untuk menghiburkan penonton.

Dalam masa yang sama kebolehan mereka untuk menggunakan wadah online seperti YouTube.
(Gambar: Mediacorp)
"Perkara-perkara ini perlu bagi saya kerana ia akan mengajar saya bagaimana untuk mengembangkan tarikan untuk menarik penonton bukan sahaja dari segi televisyen tapi dari media sosial dan sebagainya. Ini adalah satu perkara yang saya perlukan kerana saya sendiri ingin belajar dari mereka," kata Encik Najip.

ELEMEN MENARIK DALAM PERTANDINGAN 'KAKI NYANYI'

Para peserta akan dibahagikan kepada lapan kumpulan.

Setiap minggu, setiap kumpulan akan ditugaskan untuk mempersembahkan semula lagu-lagu popular mengikut daya kreativiti masing-masing.

Encik Najip yang juga merupakan juri pertandingan itu berkongsi akan ada kejutan menarik dalam perjalanan mereka.

"Mungkin dalam minggu ketujuh atau lapan, kami akan ada 'twist'. Adakah mereka akan kekal bertiga, atau mereka menjadi lima atau empat. Saya tidak tahu. Jadi inilah satu kejutan yang akan saya lakukan di mana penonton harus nantikan," seloroh Encik Najip.

Tambah beliau, 'Kaki Nyanyi' merupakan salah satu usahanya untuk terus memastikan artis-artis tempatan yang kurang mendapat perhatian terus mengasah bakat mereka dalam persada seni.

"Saya mengharapkan dengan adanya peserta atau mereka yang baru-baru berjinak (dalam industri seni) bahawa untuk menjadi seorang penyanyi yang baik ada dua perkara. Bakat dan sikap.

"Sikap inilah yang saya ingin tayangkan kepada penonton bahawa sikap profesionalisme, sikap ingin tahu sikap ingin mencuba, sikap berani itu semua ada dalam sesebuah persembahan," kata Encik Najip.
(Gambar: Mediacorp)
INGIN TONJOLKAN BAKAT SEBAGAI PEMUSIK DAN PENYANYI

Antara 24 peserta yang terpilih untuk sertai Kaki Nyanyi ialah Sio Lubis dan Faiz Zikry.

"Muzik adalah cinta pertama saya, walaupun saya suka dalam bidang sains, muzik adalah minat saya dan 'Kaki Nyanyi' dapat membantu saya untuk menunjukkan pelbagai aspek yang saya ada sebagai seorang pemuzik dan penyanyi. Saya ingin tunjukkan semua bakat saya kepada para penonton dan pendengar saya," kongsi Sio Lubis.

Bagi Faiz Zikry pula, beliau sudah lama menanam harapan untuk memasuki sebuah peraduan nyanyian tidak kira di Singapura atau luar negara.

"Saya hendak merasa bagaimana berada dalam sebuah peraduan. Dengan pertandingan 'Kaki Nyanyi' ini juga Faiz perasan yang saya tidak boleh nyanyi lagu rentak balet sahaja tetapi harus mencabar diri untuk menyanyi lagu lain. Saya rasa itu yang paling menarik," kata Faiz.
(Gambar: Mediacorp)
Bagi mempersiapkan diri buat peraduan itu, kedua-dua peserta sudah mula berlatih dan menjaga pemakanan mereka untuk memberikan yang terbaik buat penonton.

Tayangan perdana 'Kaki Nyanyi' akan disiarkan pada Selasa (3 Dis).

Anda boleh saksikan 'Kaki Nyanyi' setiap Selasa pada pukul 8.30 malam di mewatch, Suria dan akaun TikTok Mediacorp Untukmu.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan