Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

'Kakak Current' iktiraf sumbangan wanita Melayu dalam pembangunan ekonomi S'pura pada tahun 70-an

Sebuah muzikal bagi mengiktiraf sumbangan serta memaparkan cabaran kehidupan para pekerja wanita Melayu Singapura yang bekerja di kilang pada tahun 1970-an bakal dipentaskan di Wisma Geylang Serai (WGS) Sabtu ini (30 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah muzikal bagi mengiktiraf sumbangan serta memaparkan cabaran kehidupan para pekerja wanita Melayu Singapura yang bekerja di kilang pada tahun 1970-an bakal dipentaskan di Wisma Geylang Serai (WGS) Sabtu ini (30 Okt).

Berjudul 'Kakak Current', pementasan itu juga diadakan bersempena Tahun Meraikan Wanita Singapura.

DIILHAMKAN DARIPADA JOLOKAN 'MINAH CURRENT'

Jolokan 'Minah Current' mungkin lazim didengar pada tahun 1970-an, iaitu gelaran bagi kaum hawa yang bekerja di kilang-kilang elektronik.

Kisah sebenar kehidupan dan perkongsian daripada wanita-wanita itu sendirilah yang mencetus ilham bagi penghasilan skrip muzikal berjudul 'Kakak Current'.

Malah selama dua jam, pementasan tersebut akan membawa penonton menelusuri kehidupan dan cabaran yang dipikul mereka pada zaman itu.

Pengurus Besar WGS, Encik Nur Effendi Md Esa berkongsi: "Dalam tahun 70-an, ramai di antara wanita Melayu kita yang menyahut panggilan pemerintah untuk keluar rumah dan bekerja di kilang-kilang elektronik yang kian pesat membangun pada masa itu.

"Jadi cerita ini adalah sedikit sebanyak perjalanan mereka melalui zaman di mana mereka harus mengimbangi tanggungjawab mereka di rumah sebagai anak, isteri dan ibu dan juga tanggungjawab baru di mana mereka keluar bekerja di kilang dan menampung keluarga mereka melalui mata pencarian mereka sendiri."

HIDUPKAN SUASANA KILANG KAMERA ROLLEI SEBENAR

'Kakak Current' berkisar tentang watak Liza yang berkhidmat sebagai seorang penyelia di kilang tersebut.

Meskipun berdikari dalam menjana pendapatan dan menyokong keluarganya, beliau tertekan dengan keadaan suaminya yang sukar menerima hakikat isterinya itu lebih banyak bekerja dan menjadi pencari nafkah tunggal bagi keluarga mereka.

Ini memberi dilema kepada Liza dalam mengimbangi cinta, perkahwinan dan kerjayanya sendiri.

Bagi memberi gambaran yang realistik, muzikal ini juga berlatarbelakangkan suasana di kilang kamera ROLLEI sebenar yang pernah dibangunkan di Chai Chee pada tahun 70-an dahulu.

IKTIRAF WANITA YANG 'MEMBANTING TULANG'

Bahkan bagi membawa para penonton kembali ke tahun-tahun 1970an, persembahan oleh kumpulan A'art itu juga bakal disulami dengan corak fesyen dan lagu-lagu yang popular pada zaman itu.

Muzikal itu yang dijayakan oleh 14 pelakon dan penari merupakan program kedua yang dijayakan Wisma Geylang Serai bersempena Tahun Meraikan Wanita Singapura tahun ini.

Sebelum ini, WGS mengadakan bual bicara 'In Conversation with Girlfriends' pada bulan Ogos.
Muzikal 'Kakak Current' juga disokong Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Majlis Persatuan Rangkaian Integrasi Wanita (WIN).

Pengarah dan pelakon utama 'Kakak Current', Awal'liyah Ja'afar berkata: "Pada 70-an, banyak wanita-wanita Melayu dan kakak-kakak Melayu, mereka bekerja keras kerana pada zaman itu merekalah yang membangunkan ekonomi Singapura tapi tak diiktiraf dan orang tak kenal. Padahal mereka yang membanting tulang.

"Jadi saya rasa saya ingin mengambil masa dan platform ini untuk mengiktiraf mereka - ini untuk anda!"

Bagi mematuhi langkah-langkah keselamatan COVID-19, 'Kakak Current' bakal dipersembahkan secara fizikal bagi 40 orang tetamu sahaja di WGS pada Sabtu ini.

Orang ramai juga boleh menontonnya di Facebook dan YouTube WGS pada 14 November nanti pada 8.00 malam.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan