Juara Anugerah 2017 Muhammad Shahfiq maut dalam nahas di Muar
Juara Anugerah 2017 Muhammad Shahfiq maut dalam nahas di Muar. (Gambar: mediacorp.untukmu/Instagram)
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengenalpasti mangsa sebagai Muhammad Shahfiq Irman dan Mohd Firman Nordin, kedua-duanya 26 tahun.
Empat penunggang motosikal yang lain cedera parah dan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.
Mereka adalah sebahagian daripada lapan penunggang motosikal dari Singapura yang dalam perjalanan ke Pagoh, Muar untuk bersahur.
Semasa dalam perjalanan, sebuah motosikal konvoi itu pancit dan penunggangnya berhenti di Yong Peng.
Tujuh orang penunggang di hadapan memberhentikan motosikal mereka dan menunggu di lorong kecemasan, apabila dilanggar sebuah lori kontena yang dipercayai hilang kawalan.
Allahyarham Muhammad Shahfiq, anak kedua daripada empat adik beradik, adalah juara Anugerah 2017 dan peserta SG Mania Musim Ketiga anjuran Mediacorp Suria.
Selepas dinobatkan juara, Allahyarham ditawarkan kontrak rakaman dan pengurusan dengan syarikat rakaman yang berpangkalan di Malaysia, Paranormal Records.
Menurut adik lelakinya, Encik Syah Riszuan, Allahyarham yang merupakan lulusan Diploma dalam Muzik dari Kolej Seni LASALLE, baharu sahaja selesai menjalani perkhidmatan negara dan tidak aktif dalam bidang hiburan buat masa ini.
"Arwah abang saya baharu sahaja selesai menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dan bekerja sebagai Jurulatih Kecergasan di sebuah gim swasta. Arwah tidak aktif dalam bidang nyanyian buat masa ini," kata Encik Syah Riszuan, 19 tahun.
Bapa Allahyarham, Huslan Mohd Noor and abang sulungnya telah ke Muar sekitar enam pagi tadi untuk menguruskan jenazah.
BERITA Mediacorp difahamkan jenazah sudah dimandikan dan dalam perjalanan pulang ke Singapura.
Jenazah Allahyarham dijadual dikebumikan sekitar 10.00 pagi esok.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.