Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Jualan tiket laris; Search tambah tarikh 'Konsert Endemik'

Anggaran Waktu Membaca:
Jualan tiket laris; Search tambah tarikh 'Konsert Endemik'

Gambar: Agensi berita/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock legenda Search yang dianggotai oleh Amy, Nasir, Hillary Ang dan Man Kidal membuat kejutan dengan mengumumkan penambahan tarikh Konsert Endemik selama dua malam.

Difahamkan, konsert tersebut kini akan berlangsung pada 4 dan 5 Jun 2022 di sebuah lokasi terbaru bertaraf antarabangsa di Bukit Bintang, Kuala Lumpur iaitu di Zepp Kuala Lumpur, lapor Gempak yang diterbitkan oleh Astro AWANI.

Menurut Amy, keputusan untuk menambah satu lagi malam bertujuan untuk memberi peluang kepada semua peminat-peminat Search bukan sahaja di Malaysia malah dari seluruh rantau Asia.

“Setelah berbincang dengan penganjur Konsert Endemik, LOL Asia, kami membuat keputusan untuk menambah satu lagi malam untuk memberi peluang kepada semua peminat-peminat Search bukan sahaja di Malaysia malah dari seluruh rantau Asia.

“Pihak kami juga telah bertemu dengan Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin, yang menyokong penuh penganjuran konsert ini dan keputusan untuk mengadakannya selama dua malam.

“Zepp KL mempunyai ciri-ciri keselamatan yang hebat namun untuk memastikan keselamatan penonton lebih terjaga, kami pasti inilah yang terbaik, walaupun negara kita sudah pun diisytiharkan sedang melalui fasa peralihan endemik,” katanya seperti dinukil oleh Astro AWANI.

Jelas Amy lagi, Konsert Endemik pada 4 dan 5 Jun 2022 ini akan menjadi penanda aras baru bagi penganjuran konsert fasa endemik di Malaysia.

“Kami bukan sahaja merupakan band pertama membuat persembahan solo di Zepp KL, tetapi kami juga akan mempersembahkan buat pertama kali dua lagu baru dari Search iaitu Endemik I dan Endemik II, selain lagu-lagu signature Search yang menjadi kegilaan peminat-peminat kami.

“Dapatkan tiket Konsert Endemik hari ini sebelum ia habis dijual, dan jumpa anda semua di Zepp KL pada 4 dan 5 Jun ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif LOL Asia, Rizal Kamal berkata, laman web jualan tiket Konsert Endemik mula dibuka pada jam 10.00 malam Sabtu (30 April) dan setakat ini kesemua VIP Box sudahpun berjaya dijual, lapor Astro AWANI.

“Tiket-tiket bagi kategori Platinum, Gold, Silver dan Rock Zone juga hampir kehabisan.

"Saya percaya status Search sebagai kumpulan rock nombor satu di Malaysia dan juga kemudahan bertaraf dunia di Zepp KL menjadi faktor utama tiket Konsert Endemik begitu laris.

“Ia adalah peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh kesemua peminat kumpulan Search terutamanya dengan line-up legenda iaitu Amy, Nasir, Hillary dan Man Kidal.

"Search sendiri telah menjanjikan konsert paling epik dan bakal melakar sejarah di dalam lipatan industri seni tanah air terutama scene rock n roll.”

Tiket Konsert Endemik sudahpun mula dijual. Layari lolasia.bigtix.io untuk maklumat lanjut berkenaan pembelian tiket.

Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan