Joey Bumiputra Rockers meninggal dunia pada usia 63 tahun
Vokalis kumpulan rok terkenal Bumiputra Rockers (BPR), Joey atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi di belakang pentas Laman Santai, Istana Budaya pada 28 Ogos 2026. (Gambar: Facebook/Joey Bpr)
Berita pemergian Almarhum disahkan isterinya, Cik Zarinah Zainal kepada portal berita Harian Metro.
Cik Zarinah juga mengumumkan demikian di laman Facebook 'Joey Bpr'.
Menurut Cik Zarinah, suaminya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.11 pagi.
Cik Zarinah menambah, Almarhum sebelum itu sempat membuat persembahan di Laman Santai, Istana Budaya pada Jumaat malam dengan menyampaikan dua buah lagu sebelum rebah dan dikejarkan ke HKL untuk menerima rawatan.
Cik Zarinah menjelaskan, pemeriksaan doktor mendapati Joey mengalami pendarahan selain mempunyai komplikasi saluran jantung tersumbat.
“Segalanya berlaku terlalu cepat. Joey seorang yang sangat baik dan saya bersyukur dipertemukan dengannya,” katanya dalam keadaan sebak seperti dilaporkan portal itu.
Pemergian Joey merupakan satu kehilangan besar kepada industri muzik Malaysia, khususnya peminat muzik rok era 1980-an dan 1990-an yang membesar dengan lagu-lagu popular dendangan Bumiputra Rockers.
Antara lagu popular Almarhum ialah 'Seribu Tahun Takkan Mungkin', 'Harum Subur Di Hati' dan 'Dari Sinar Mata'.
Almarhum dikenali menerusi suara unik dan persembahan bertenaga yang menjadikan BPR antara kumpulan rok yang mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.