Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Joe Flizzow terpaksa 'lantang' selar jenaka lucah

Perlu ada seseorang bersuara dan bertindak tegas bagi mengolah salah faham orang ramai terhadap isu menganggap jenaka lucah sebagai sesuatu yang biasa, kata Joe Flizzow.

Anggaran Waktu Membaca:
Joe Flizzow terpaksa 'lantang' selar jenaka lucah

Komposer dan penyanyi hip hop Malaysia, Joe Flizzow. (Gambar: Joe Flizzow/Instagram)

Diterbitkan : 26 Oct 2021 11:40PM Dikemas Kini : 26 Oct 2021 11:42PM

KUALA LUMPUR: Perlu ada seseorang bersuara dan bertindak tegas bagi mengolah salah faham orang ramai terhadap isu menganggap jenaka lucah sebagai sesuatu yang biasa, kata Joe Flizzow.

Menukil penjelasan komposer dan penyanyi hip hop terkenal Malaysia itu, Malaysiakini melaporkan Joe berkata beliau sebenarnya bukanlah seseorang yang suka bersuara lantang bagi menyuarakan isu-isu semasa.

Namun, terang beliau, tindakan itu terpaksa diambil memandangkan tiada seorang pemimpin pun tampil ‘mencelah’ demi kebaikan bersama selepas klip video berkenaan isu itu tular dan mendapat perhatian ramai.

“Pertama sekali, saya nak tegaskan, bukan sikap saya untuk bersuara lantang seperti pada hari itu.

“Seseorang perlu bercakap (ambil tindakan) dalam hal ini. Saya bukanlah berpihak pada mana-mana politik tetapi bagi saya, masalah ini berat.

“Tetapi saya lihat selepas beberapa jam, tiada suara daripada pemimpin-pemimpin kita (sedangkan) ini adalah perkara serius, jadi, saya suarakan,” ungkapnya seperti dipetik Malaysiakini.

Menurut Joe, atau nama sebenarnya Johan Ishak, menganggap jenayah seksual sebagai sesuatu yang lucu atau boleh dijenakakan adalah keterlaluan dan wajar ditegur agar ia menjadi teladan buat yang lain.

TEGURAN SEBAGAI RAKYAT KE RAKYAT YANG LAIN

Pada masa yang sama, lapor Malaysiakini, Joe menegaskan beliau tidak berniat untuk memberikan ulasan mengenai pelakon terbabit dan klip video tular tersebut.

"Bagi saya, ada perkara kita boleh bergurau tapi perkara ni sudah melampaui batas.

“Orang patut pandang serong dengan kelakuan begitu,” ujarnya.

Joe berkata demikian semasa sidang media 'Start Your English Journey With Joe Flizzow' yang berlangsung secara maya pada petang Selasa (26 Okt).

Sebelum ini, Joe, 42 tahun, antara individu yang tampil menyuarakan perasaan marah dan tidak puas hati di laman sosialnya berkenaan isu rogol yang dijadikan bahan jenaka melalui sebuah program televisyen tempatan.

Insiden itu berlaku selepas tular sebahagian daripada klip video temu bual lama melibatkan pelakon Fauzi Nawawi di media sosial baru-baru ini.

Ketika berkongsi kisahnya dalam Anak Halal, pemilik nama penuh Mohd Fauzi Mohd Nawawi itu memperincikan adegan ‘panas’ dilakonkannya dengan mengaitkan nama seorang pelakon wanita.

Warganet secara amnya marah dan menganggap perkara itu sebagai membuka aib serta tidak sesuai untuk dikongsikan kepada umum.

Fauzi, 48 tahun, bagaimanapun sudah memohon maaf dan mengakui dirinya jahil kerana terlanjur membicarakan soal itu, lapor Malaysiakini.

Joe berkata, industri hiburan tidak patut dipersalahkan secara menyeluruh dalam soal itu sebaliknya sikap seseorang dalam hidup bermasyarakat yang perlu diambil kira.

“Hal ini tiada kena- mengena dengan industri tapi kelakuan kita sebagai satu masyarakat. Saya bukan dari industri filem tapi muzik.

“Saya bukan buat teguran sebagai artis kepada artis lain tetapi sebagai rakyat Malaysia kepada rakyat yang lain.

“Seseorang lelaki itu kena ada logik akal. Apa pun, beringatlah, bahasa melambangkan bangsa,” penyanyi lagu 'Havoc' itu meninggalkan peringatan. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa