Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Jenazah penyanyi kugiran XPDC selamat dikebumikan

Anggaran Waktu Membaca:
MUAR: Jenazah vokalis kugiran XPDC, Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, sekitar pukul 10.55 pagi tadi (29 Apr).

Kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan artis, peminat serta penduduk setempat memenuhi pekarangan tanah perkuburan bagi menyaksikan upacara pengebumian dan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Allahyarham Mael menghembuskan nafas terakhir pada usia 55 tahun di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) kira-kira jam 9.30 malam Jumaat (28 Apr), dipetik agensi berita Astro Awani.

Jenazah kemudian dibawa ke kediaman anaknya di Jalan Sungai Abong dan disolatkan terlebih dahulu sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Antara rakan-rakan artis yang hadir termasuk ahli-ahli kumpulan XPDC serta Joe Wings.

Sementara itu anak saudara Allahyarham, Norashikin Abdullah, 44 tahun berkata, mereka sekeluarga mengakui terkejut dengan berita pemergian bapa saudara mereka itu.

Katanya, sifat Allahyarham yang sangat tenang pastinya memberi kesan mendalam kepada seluruh anggota keluarga dan sahabat handai.

“Peribadi arwah ini memang luar biasa kerana dia memang menekankan pendidikan agama anak-anaknya sejak kecil lagi.

“Raya kali ini juga dia bersungguh-sungguh meminta maaf pada ahli-ahli keluarganya seolah-olah memberi petanda dia akan pergi selamanya,” katanya ketika ditemui di pekarangan tanah perkuburan, lapor Astro Awani.

XPDC adalah sebuah kugiran rock popular ketika era 1980 hingga 1990-an dan sering mengadakan konsert di tapak pesta seluruh negara sehingga diberikan jolokan sebagai 'Raja Funfair.'
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan