Jenazah Halil Chik selamat dikebumikan
Jenazah penyanyi era 70-an, Halil Chik atau nama sebenarnya Abdul Halil Chik, selamat dikebumikan pada jam 5.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana hari ini (30 Jun).

Jenazah penyanyi era 70-an, Halil Chik atau nama sebenarnya Abdul Halil Chik, selamat dikebumikan. (Gambar: Persatuan Seniman Malaysia)
KUALA LUMPUR: Jenazah penyanyi era 70-an, Halil Chik atau nama sebenarnya Abdul Halil Chik, selamat dikebumikan pada jam 5.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana hari ini (30 Jun).
Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 7.00 pagi tadi di Hospital Ampang menyusuli serangan angin ahmar baru-baru ini.
Suasana hiba menyelubungi Masjid Bukit Antarabangsa dengan kehadiran anggota keluarga, saudara mara, kenalan serta rakan artis bagi memberi penghormatan terakhir buat arwah sebelum jenazah disemadikan.
Anaknya, Alif Halil, 23 tahun, berkata Allahyarham bapanya menghembuskan nafas terakhir ketika berada di sisinya.
“Semalam saya tidur di sebelah katil ayah dan bila saya bangun, ayah macam tak bernafas jadi saya panggil doktor untuk periksa. Dalam 20 minit kemudian, doktor beritahu ayah sudah tiada,” katanya ketika ditemui pemberita di masjid berkenaan.
Difahamkan Halil, 70 tahun, dimasukkan ke hospital pada 19 Jun lalu selepas diserang angin ahmar di kediamannya di Bukit Antarabangsa.
Rakan arwah, Tommie Tumiran yang hiba dengan pemergian Allahyarham,menyifatkannya sebagai individu yang baik dan tidak suka bercerita hal orang lain.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Encik Freddie Fernandez pula berkata industri hiburan kehilangan seorang bintang berbakat besar dan berharap sumbangan Allahyarham yang popular dengan lagu 'Lenggang Mak Limah' akan terus dikenang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.